OLEH ZARA BEDA
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal meminta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya menyusun semula pembangunan rumah atas air di Sabah.

Ahli Parlimen Semporna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, usaha itu perlu bagi memastikan sebarang insiden kebakaran yang berlaku di kawasan rumah atas air yang berada di tebing laut atau pulau termasuk di Pulau Gaya dapat dikawal dengan mudah.

Katanya, insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya semalam perlu diambil sebagai pengajaran.

Menurutnya, mangsa kebakaran memaklumkan usaha memadamkan api mengambil sedikit masa kerana kemudahan prasarana yang tidak lengkap.

“Jika dilihat di Semporna, kita mempunyai perkhidmatan Balai Bomba Atas Air yang membolehkan operasi pemadaman kebakaran dapat dilakukan segera kerana adanya kemudahan prasarana.

“Kita harus melihat kemudahan sebegini dapat disediakan di kawasan lain pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas melawat mangsa kebakaran yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sembulan, hari ini.

Mohd Shafie berkata, ADUN Warisan iaitu Datuk Junz Wong (Tanjung Aru), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas) serta Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman turut sama dalam lawatan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat bagaimana bantuan makanan dan penginapan dapat diberikan.

“Difahamkan mereka berada di PPS ini selama tiga hari dan selepas itu mereka terpaksa mencari tempat penginapan lain.

“Saya minta tadi supaya kalau boleh tambah lagi dua atau tiga hari bagi membolehkan sekurang-kurangnya dapat memberikan mereka tempoh mencari tempat berteduh.

“Memandangkan rumah mereka sudah terbakar, kita akan berusaha memastikan bantuan dapat diberikan kepada mangsa kebakaran ini,” katanya.

Dalam lawatan itu, Mohd Shafie turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa kebakaran yang membabitkan hampir 400 orang kehilangan tempat tinggal.

Kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya yang berlaku kira-kira 8 malam semalam mengakibatkan 73 buah rumah musnah sepenuhnya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started