
OLEH NORAZMI HJ. ALIMAT
KOMEN: Adalah menjadi satu impian dan niat murni kita semasa era kerajaan PH yang lalu untuk membawa aspirasi baru dalam sistem demokrasi negara.
Pada Julai 2019, Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 untuk melayakkan anak-anak muda yang berumur 18 tahun ke atas mengundi pada PRU akan datang dan juga untuk menjadi calon yang bertanding.
Kini anak muda Malaysia sudah berubah naratif pemikiran mereka. Mereka sudah tahu apa yang harus mereka tentukan. Kematangan mereka jangan dipandang enteng. Tambahan lagi mereka adalah pewaris kepimpinan negara.
Kemajuan teknologi pesat tak bersempadan abad ini memungkinkan anak muda bukan lagi boleh dianggap sebagai kelas pinggiran. Ramai anak muda Malaysia kini sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam penentuan sesebuah kerajaan ataupun terlibat secara langsung dalam mencorak dasar polisi negara.
Menjadi harapan kita untuk membawa anak-anak muda ini bersama dalam budaya demokrasi yang diamalkan di negara ini. Kelak mereka akan dewasa dan bakal menjadi tunjang negara.
Penglibatan mereka melalui UNDI 18 ini amat tepat supaya semangat serta perasaan tanggungjawab cintakan pada negara itu dapat disemai awal di kalangan mereka.”

WIRA WARISAN menyeru kepada pihak kerajaan terutamanya pihak SPR agar menyegerakan segala tindakan yang perlu bagi merealisasikan harapan UNDI 18 ini.
Hormati keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam meluluskan pindaan RUU UNDI 18 ini. Apa yang lebih penting adalah HAK yang telah wujud pada anak-anak muda ini di bawah Perlembagaan Persekutuan yang patut dicaknakan.”
KETEPIKAN SOAL POLITIK, utamakan apa yang sudah menjadi hak kepada golongan anak muda ini dalam sistem demokrasi negara. Usah khuatir, usah risau anak-anak muda ini bukan kepalang cerdiknya dan bukan senang untuk ditarik hidungnya.
Kematangan, harapan dan hasrat mereka jangan dieksploitasikan. Mereka arif apa yang terbaik buat negara.”
Mungkin juga kita mahu melihat perubahan positif dapat berlaku dalam kedudukan wakil-wakil rakyat samada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang ‘kononnya’ kini ‘tenat’ disebabkan kurangnya wakil anak muda yang menjadi wakil rakyat dan hanya dimonopoli oleh golongan yang sudah lanjut usia?
Harusnya kita berbangga kerana kita adalah antara beberapa negara di dunia yang telah berani melangkah ke hadapan dalam penyuburan sistem demokrasi dengan pindaan RUU UNDI 18 yang telah diluluskan ini.
Benarlah kata-kata hikmat berbunyi ‘Berilah aku 10 orang anak muda, nescaya aku bisa menggoncang dunia’, dan apa yang paling utama, kita harus sedar dan yakin akan kenyataan bahawa anak muda itu adalah PELAPIS WARISAN BANGSA MALAYSIA YANG TERCINTA.”
Sekian.
- Norazmi Hj. Alimat adalah Exco Wira Warisan

Leave a comment