
OLEH ZARA BEDA
KOTA KINABALU: Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini untuk tidak melaksana Undi-18 memberi bayangan seolah-olah peranan anak muda dianggap tidak penting dalam amalan demokrasi di negara ini.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata, kerajaan PN dilihat sentiasa berdolak dalik dengan undang-undang ini walaupun ianya telah diwartakan pada September 2019.
Beliau berkata, perlaksanaan pendaftaran pengundi berumur 18 tahun secara automatik dilihat dapat memberi rangsangan kepada anak muda untuk menyumbang dalam membuat keputusan besar seperti pembentukan sesebuah kerajaan dan memilih kepimpinan negara.
Katanya, kerajaan PN sepatutnya menggunakan peluang ini untuk menggalakkan 4.2 juta anak muda yang berumur 21 tahun dan ke atas yang dilaporkan layak mengundi, tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.
“Hak untuk mengundi dan menjadi calon pilihan raya yang diturunkan kepada umur 18 tahun adalah hadiah terbaik pentadbiran sebelum ini kepada anak muda.
“Kejayaan ini terakam pada 25 Julai 2019 selepas Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, 10 hari selepas ianya diluluskan sebulat suara di dalam Dewan Rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menyatakan dengan tegas mengenai perlaksanaan Undi 18 tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin politik.
Mohd Shafie berkata, SPR perlu mengadakan lebih banyak libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk daripada parti politik pihak pembangkang dalam kerangka untuk menjayakan Undi 18 ini.
“Sebarang penangguhan dalam proses ini pastinya akan menjejaskan mood anak muda untuk turut sama terlibat dalam pemulihan sistem demokrasi dalam negara kita.
“Saya yakin dengan kematangan dan pertimbangan anak muda dalam membuat keputusan mereka di peti undi.
“Ia bukan persoalan memberikan kebebasan kepada mereka, ini adalah persoalan hak mereka yang telah dirampas dan wajar dikembalikan,” ujarnya.

Leave a comment