
OLEH ZARA DEBA
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (gambar) menyifatkan kompaun RM10,000 adalah bebanan besar yang akan menyusahkan rakyat.
Beliau berkata, ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19, ramai rakyat yang hilang mata pencarian dan kini dengan nilai kompaun yang tinggi, ianya akan terus menjadi bebanan buat rakyat.
Katanya, walau kerajaan ingin memberi pengajaran kepada mereka yang ingkar dengan prosedur operasi standard (SOP) namun, nilai kompaun yang tinggi bukan caranya.
“Saya menerima maklumat daripada beeberapa pihak bahawa ada orang didenda RM10,000 di Lahad Datu dan dia tiada keupayaan untuk membayarnya.
“Jadi, kita kena melihat semula cara untuk mendidik umat. Kita sedang berdepan dengan Covid-19 dan kita tahu untuk menanganinya bukan mudah kerana masyarakat terkongkong, tiada mata pencarian, kini berdepan darurat dan perlu memikirkan bagaimana menjaga anak untuk mencari nafkah hidup.
“Kita kena lihat, ada antara nelayan dan petani, kemampuan mereka agak terbatas. Rakyat tengah susah tapi kita bebankan mereka,” katanya semasa Sesi Soal Jawab menerusi Facebook live, semalam.
Mohd Shafie, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini meminta kerajaan untuk mencari kaedah terbaik dalam mendidik masyarakat dan bukannya dengan mengenakan kompaun yang tinggi seperti ini.
Program sesi soal jawab itu adalah program pertama seumpamanya diadakan oleh Mohd Shafie secara maya bagi menjawab sendiri persoalan dikemukakan oleh rakyat di negeri ini.
Program tersebut berlangsung lebih kurang sejam bermula pada 9 malam, Isnin.

Leave a comment