OLEH ZARA DEBA
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mendesak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendirian terhadap cadangan Perikatan Nasional (PN) mahu membentangkan rang undang-undang (RUU) yang menghalang perkembangan agama bukan Islam di negara ini.

Ketua Penerangan WARISAN Penampang, Jeremiah Mayo Gitom berkata, Presiden beberapa parti komponen PN seperti Presiden SAPP, Yong Teck Lee dan Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan tahu mengenai perkara itu sebelum diumumkan baru-baru ini oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary, Isnin lalu.

“Kedua-dua mereka duduk dalam Majlis Presiden PN bersama Presiden PBS, Maximus Ongkili, maka jelas sekali isu sensitif seperti itu perlu dijelaskan kepada semua parti komponen sebelum diumumkan.

JEREMIAH GITOM

“Rakyat Sabah terutamanya masyarakat Kristian amat risau dengan apa yang akan dibawa oleh RUU itu maka kami mendesak ketiga-tiga Presiden parti itu memberitahu rakyat secara terbuka.

“Tindakan berdiam diri itu memberi gambaran seperti mereka telah diberitahu tentang RUU itu dan memberikan kelulusan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jeremiah berkata, kerisauan masyarakat Kristian amat difahami memandangkan beberapa diosis dan paderi ketika ini mengadakan Misa secara siaran langsung di Facebook menggunakan Bahasa Melayu (BM).

“Siaran Misa secara langsung perlu untuk memastikan komuniti Kristian dan Katolik kekal utuh dalam kepercayaan mereka sepanjang tempoh pandemik, jadi adakah siaran langsung itu bertentangan dengan hasrat RUU tersebut?” soal beliau.

Katanya, RUU itu mungkin boleh mengubah senario keharmonian dan toleransi antara agama di Sabah ketika ini di mana rumah ibadah seperti masjid dan gereja boleh berada bersebelahan.

BASAL BULLAH

“Jika ada mana-mana bahagian dalam RUU itu yang menghalang kebebasan beragama di Sabah seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia (MA63) maka kami mahu PN Sabah dan pemimpin GRS untuk bersuara sekarang bukannya menunggu sehingga RUU itu berada di peringkat akhir dalam Dewan Rakyat,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua WARISAN Keningau, Basal Bulah percaya pengumuman untuk membentangkan Akta 355 atau Hukum Hudud dan kawalan terhadap perkembangan agama-agama lain dibuat oleh satu pihak saja dalam PN, maka STAR, PBS dan SAPP perlu teguh dan menegakkan prinsip untuk Sabahan.

“Tanggungjawab itu kini terletak pada Presiden parti komponen PN, malah GRS mempunyai akses kepada Pengerusi PN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjelaskan kepada Sabahan dan Sarawakian tentang kandungan RUU itu bagi meredakan kerisauan bahawa cadangan tersebut memberi kesan kepada kepercayaan bukan Islam.

“Isu ini melangkaui politik atau agama kerana memberi kesan kepada salah satu keistimewaan Sabah dan Sarawak yang telah dirunding dan dipersetujui oleh pihak-pihak yang menurunkan tandatangan dalam perjanjian antarabangsa iaitu MA63.

“Jika pengumuman tentang RUU itu dibuat oleh satu pihak, maka STAR dan PBS boleh melakukan perkara sama dibuat DAP pada 2015 untuk meninggalkan PAS yang menyebabkan kejatuhan Pakatan Rakyat.

“Jika DAP memutuskan kerjasama dengan PAS semata-mata disebabkan idea politik, perkara ini pula lebih besar kerana berkaitan keistimewaan Sabah lebih-lebih lagi STAR dan PBS telah menyatakan keutamaan mereka ialah MA63,” tambahnya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started