
OLEH ZARA BEDA
KOTA KINABALU: Kerisauan beberapa pemimpin terhadap usaha kumpulan tertentu mempolitikkan isu kalimah Allah untuk kepentingan politik turut disuarakan oleh Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal.
Mohd. Shafie berkata, isu tersebut akan dipolitikkan dalam usaha mendapat sokongan politik daripada masyarakat Melayu di Semenanjung semasa kempen pilihan raya.
“Mereka akan gunakannya sebagai gerakan untuk dimainkan. Mahkamah Tinggi sudah membuat keputusan lalu mereka membuat rayuan.
“Itu cara mereka satukan orang Islam, mereka gunakannya, terutama Ramadan bakal tiba,” katanya hari ini.
Mohd. Shafie berkata, taktik tersebut mudah dibaca, malah penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam telah diputuskan semasa pentadbiran Barisan Nasiobal (BN) yang ketika Menteri Undang-undang dijawat oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Semasa keputusan tersebut dibuat, bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem turut menyokong kebenaran orang bukan Islam menggunakan kalimah berkenaan.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah itu bagi tujuan pendidikan.
Keputusan tersebut bagaimanapun mendapat tentangan.
Seorang pemimpin Pas kemudiannya mengumumkan bahawa satu rang undang-undang bagi menghalang perkembangan agama bukan Islam akan dibentang tidak lama lagi.
Ketika ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor masih belum menyatakan pendiriannya berkenaan isu tersebut.
Sementata itu, Mohd. Shafie berkata, beliau bersetuju dengan keputusan sebelum ini membenarkan penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak.
“Tetapi jika ada cubaan menyalahgunakan kalimah itu maka ambil tindakan.
“Jangan halang kerana Tuhan itu semesta alam,” tambahnya.

Leave a comment