
OLEH ZARA DEBA
KOTA KINABALU: Dakwaan bekas Ketua Konservator Hutan negeri, Sam Mannan yang cuba memperlekehkan polisi pembalakan Kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) adalah semata-mata cubaan terdesak membersihkan namanya selepas dipecat pada Julai 2018.
Beliau cuba memperdaya orang ramai kononnya sebanyak RM10 juta hasil ‘hilang’ selepas 40,000 balak disita akibat pembalakan haram sedangkan hakikatnya sebelum ini berbilion ringgit hasil yang sepatutnya masuk ke dalam kantung kerajaan negeri telah dimiliki oleh taikun balak tertentu.
Pemimpin politik dan pegawai Jabatan Perhutanan Sabah yang korup semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) telah menyamun berbilion ringgit dari negeri ini untuk memberi keuntungan kepada beberapa individu sahaja bukannya negeri Sabah.
Kerajaan WARISAN bagaimanapun telah menghentikan aktiviti kumpulan kartel balak tersebut untuk memastikan hasilnya dapat disalurkan ke tempat yang betul bukannya bank-bank di Hong Kong yang ditentukan oleh golongan perasuah tersebut.

Pemain di dalam industri berkenaan mendakwa terdapat beberapa tauke balak yang membentuk kartel berkenaan selepas mendapat restu daripada seorang pemimpin politik yang menerima faedah daripada keuntungan pembalakan.
“Sebenarnya terdapat hanya seorang taikun balak di Sabah.
“Yang lain cuma mengeluarkan balak dan dieksport tetapi sebahagian besar untung pergi ke akaun seorang individu yang menyimpan berbilion ringgit dalam bank-bank di luar negara,” katanya Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal dalam satu kenyataan.
Pada tahun 2012, seorang “macai” taikun balak itu ditahan di Hong Kong kerana cuba menyeludup sebanyak RM40 juta ke Malaysia.

Suruhanjaya Rasuah Hong Kong telah memperincikan bagaimana wang tersebut disalurkan ke dalam bank pembantu tersebut melalui syarikat pembalakan sebelum dipindahkan ke beberapa akaun yang diuruskan bagi pihak taikun balak tersebut.
“Sepatutnya, hasil jualan balak terutama yang dikeluarkan daripada kawasan konsesi Yayasan Sabah dipulangkan kepada yayasan itu untuk menyediakan pinjaman dan biasiswa anak-anak Sabahan serta menyediakan perkhidmatan perubatan di luar bandar,” katanya.
Shafie berkata, jika benar RM10 juta hilang daripada satu konsesi, jumlah itu terlalu kecil berbanding jumlah yang hilang daripada Yayasan Sabah akibat perjanjian yang menyalahi undang-undang.
Di bawah Jabatan Perhutanan yang kononnya menjadi pemantau, banyak spesis balak bernilai tinggi diseludup keluar atau tidak diisytihar.
Pembalakan haram berlaku di mana-mana sahaja manakala taikun balak kekal bebas kerana yang ditangkap cuma ikan bilis.
“Apa yang Mannan mahu cakap tentang semua perkara ini lebih-lebih lagi dia adalah Ketua Konservator Hutan Sabah ketika itu,” katanya.

Terdapat kawasan pembalakan yang luas telah diberikan kepada tauke-tauke balak sebelum pilihan raya umum 2018.
Kerajaan WARISAN bagaimanapun berjaya mengambil semua separuh daripada tanah tersebut dan dipulangkan kepada Yayasan Sabah.
Penerima utama hasil ialah Yayasan Sabah untuk membolehkannya fokus menyediakan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan kerana hasil pembalakan itu telah disia-siakan oleh Kerajaan BN sebelum ini.
“Semasa WARISAN menjadi kerajaan, Yayasan Sabah sangat tenat, sangat mengarut kerana adanya konsesi balak yang luas, bagaimana Yayasan Sabah boleh tenat?
“Kenapa Mannan tidak bertanya tentang perkara ini ketika masih menjadi Ketua Konservator Hutan? Wujud urusniaga yang mencurigakan.

“Pembalak adalah orang sama yang membeli balak berkenaan untuk dieksport dan mengaut keuntungan, Yayasan Sabah tidak pernah mendapat untung,” tegasnya.
Sam Mannan suka menampilkan diri sebagai pencinta alam sekitar di peringkat antarabangsa dan mendakwa banyak kawasan hutan di Sabah masih terjaga.
Bagaimanapun golongan pembalak tahu beliau meluluskan lesen kepada kroni pembalakan yang membolehkan mereka menceroboh hutan dara di Lembah Danum untuk membalak dan selepas habis, Mannan akan mengisytiharkannya sebagai Hutan Simpan Kelas Pertama.
Sebagai Ketua Konservator Hutan, beliau menampilkan Sabah sebagai negeri yang menjaga alam sekitarnya namun pada masa sama membenarkan kartel pembalakan memusnahkan hutan untuk mengutip hasil balak.
Bukankah ini double standard? Bercakap tentang RM10 juta yang hilang sedangkan masalah lebih besar ialah berbilion ringgit hilang dimiliki ahli politik tamak dan kroni-kroni mereka, sehingga merugikan negeri Sabah.

Leave a comment