
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Amat terkejut dan terkilan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia mengumumkan perlaksanaan UNDI 18 termasuk pendaftaran undi secara automatik bagi anak muda berumur 18 hingga 20 tahun telah ditunda perlaksanaannya sehingga September 2022.
“Kita di sayap Wira Warisan amat terkilan dengan keputusan ini, harus kita sedari setelah RUU UNDI 18 ini telah berjaya diluluskan di Parlimen pada 2019 lalu, bermaksud ianya telah menjadi HAK anak muda dalam Perlembagaan Persekutuan dalam sistem demokrasi negara,”kata Norazmi Hj. Alimat, Exco Wira Warisan.
“Sebelum ini kita amat berharap agar anak muda Malaysia dapat dilibatkan bersama dalam ‘membina negara’ melalui acuan demokrasi negara pada PRU yang dijangka berlaku pada tahun ini, namun kini ternyata anak muda Malaysia akan terlepas peluang terbaik ini.”
Dalam satu kenyataan hari ini Norazmi berkata agak menghairankan sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) menyatakan Undi 18 ini akan dilaksanakan pada Julai tahun ini namun hari ini Pengerusi SPR umumkan ianya hanya akan dilaksanakan pada September tahun hadapan.
“Ini sedikit sebanyak menunjukkan betapa kerajaan hari ini seolahnya tidak bersungguh untuk menyantuni hak mengundi anak muda Malaysia ini,” tambah beliau.
“Alasan perjalanan pengumpulan data, tadbir urus dan juga persediaan lain yang masih belum selesai akibat kekangan perintah kawalan pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang masuk akal.

“Ini kerana kita maklumi ketika ini segala urusan seperti ini boleh dilakukan sesegera yang mungkin dengan kemajuan teknologi yang ada pada hari ini.”
Norazmi berkata ianya juga secara tidak langsung mencerminkan akan ketelusan dan keupayaan kerajaan hari ini agak lemah dalam mentadbir perkara seumpama ini.
Beliau menyeru agar pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang terlibat terutama SPR dapat melihat kembali keputusan penangguhan perlaksanaan Undi 18 ini ke tahun hadapan.
“Bagi pihak suara anak muda Malaysia yang terkesan dengan penangguhan Undi 18 ini, Wira Warisan menyeru kepada semua khasnya kerajaan Perikatan Nasional agar menghormati hak berperlembagaan yang ada pada anak-anak muda ini dan jangan sesekali ianya dipinggirkan,”kata Norazmi
“Usah risau, usah khuatir, anak muda Malaysia kini bukan mudah dieksplotasi dan dipengaruhi, mereka punyai iltizam, pendirian dan semangat demokrasi yang jitu sebagai Bangsa Malaysia. Mereka tahu menilai apatah lagi memilih atau terlibat dalam menentukan hala tuju dasar polisi negara.”
“Soal memilih dan undi mereka juga adalah rahsia, adakah kerajaan hari ini khuatir anak muda Malaysia kini tidak menyebelahi mereka?
“Kita juga tahu bukan semua anak muda Malaysia ini menyokong pembangkang, apa yang jauh lebih penting adalah berilah mereka peluang untuk menyatakan suara mereka di dalam peti undi di dalam PRU 15 yang dijangkakan berlaku pada tahun ini demi kesuburan hak demokrasi negara yang semakin terancam ketika ini.”

Leave a comment