
OLEH ZARA DEBA
KOTA KINABALU: Kegagalan Perikatan Nasional (PN) mentadbir urus negara sejak memerintah selama setahun menjadi punca kepada tindakan syarikat-syarikat multi nasional (MNC) meninggalkan negara ini dan melabur ke dalam negara jiran antaranya Indonesia serta Filipina.
Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking berkata, Malaysia menerima banyak perjanjian pelaburan sepanjang 2018 dan 2019, namun disebabkan tindakan susulan yang terlalu lambat daripada PN, tiada usaha yang dapat dimeterai.
“PN perlu menyediakan perkhidmatan yang memuaskan kepada pelabur asing dengan mempercepatkan permohonan mereka kepada pelabur-pelabur inilah yang menyediakan pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Malah, lawatan Perdana Menteri ke UAE dibayangi oleh keputusan negara itu melabur sebanyak $10 bilion (RM40 bilion) kepada Agensi Pelaburan Indonesia yang menjelaskan kepada kita bahawa PN terlalu lambat bertindak dalam soal ekonomi dan kepercayaan tinggi pemimpin Arab kepada pemimpin Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Darell berkata, salah satu kelemahan utama kerajaan ketika ini ialah kecelaruan serta pertengkaran yang berlaku antara PN dan Muafakat Nasional (MN) dan penggunaan sentimen politik serta agama yang akan menghancurkan negara.
Katanya, pertengkaran antara UMNO, Bersatu dan PAS boleh menjadi sebab utama MNC enggan melabur ke Malaysia menyebabkan negara ini jauh ketinggalan daripada Indonesia dan Filipina dalam soal pelaburan langsung asing (FDI).

“Tiada pelabur yang waras akan membelanjakan berbilion ringgit dalam negara apabila pakatan yang tidak mendapat mandat demokratik masih terus bertarung sesama sendiri walaupun selepas mengambil alih kerajaan sah yang digulingkan oleh beberapa individu mementingkan diri.
“Keengganan pakatan ini mengembalikan sidang Parlimen hanya akan memberi gambaran lebih jelas kepada pelabur asing seolah-olah negara ini ditadbir oleh junta,” katanya.
Darell yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, tidak hairanlah kenapa Indonesia dan Filipina kini menjadi pilihan pelabur kerana UMNO, Bersatu serta PAS gagal memberikan kestabilan kepada golongan pelabur tersebut.
“Ini bukan masanya untuk bercakap soal bangsa dan agama, kita mahu menyelamatkan dan memulihkan ekonomi kerana ratusan ribu rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazanduzun atau Bajau amat memerlukan pekerjaan,” tegas beliau.
Tambahnya, keadaan menjadi semakin meruncing apabila Kerajaan PN dilihat tidak tahu apa keutamaan yang perlu didahulukan selepas Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini mahu membentangkan rang undang-undang untuk menghalang perkembangan agama bukan Islam di Malaysia.
“Ketika dunia bergerak ke arah mengakhiri perkauman terutama melalui sukan dan pendidikan apabila ribuan MNC seperti Apple, Google dan Starbucks mengamalkan polisi menolak diskriminasi, polarisasi kaum di Malaysia pula menjadi semakin luas dan pelabur akan sentiasa mengelak negara yang kaumnya bergolak untuk menjaga perniagaan mereka.
“Ramai yang sentiasa bercakap tentang bangsa dan agama mampu melakukannya kerana kekayaan yang sudah ada ribuan rakyat Malaysia lagi kini semakin dilanda kemiskinan dan terdesak untuk mendapatkan peluang pekerjaan serta peluang perniagaan,” katanya.

Leave a comment