
OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Pendaftaran penerima vaksin Covid-19 di Sabah yang sangat rendah mengundang kebimbangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, daripada 7 juta orang mendaftar untuk vaksinasi Covid-19, Sabah hanya mencatatkan 10.6 peratus.
Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hanya 10.6 rakyat Sabah telah mendaftar untuk vaksin dan 41,738 orang di Sabah telah menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 setakat semalam (25 Mac).
“Saya bimbang dengan pendaftaran untuk menerima vaksin Covid-19 yang sangat rendah di Sabah dan ramai orang yang membuat provokasi mengenai vaksin.
“Dengan cadangan kerajaan untuk mempertimbangkan tarikh akhir pendaftaran pada bulan Jun tahun ini untuk mendaftar vaksin Covid-19, kadar pendaftaran yang rendah ini boleh menyebabkan ramai orang di Sabah yang tertinggal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Untuk itu, kerajaan Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus berusaha lebih keras dalam memberi kesadaran untuk meredakan ketakutan terhadap vaksin Covid-19.

Bagaimana vaksinasi akan menyumbang kepada keselamatan keseluruhan populasi umum. Proses pemilihan dan jadual vaksinasi juga harus dikomunikasikan dengan lebih baik kepada mereka yang sudah mendaftar dan sedang menunggu KKM memberi respon.
Ketua Wanita DAP Sabah ini berkata, walaupun proses pendaftaran tidak dapat dibuka secara berpanjangan tetapi, tidak praktikal untuk menetapkan tarikh akhir yang pendek dengan tiba-tiba.
Salah satu sebab kadar pendaftaran vaksinasi Covid-19 yang rendah di Sabah adalah kekurangan liputan internet terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar kerana platform utamanya adalah melalui aplikasi MySejahtera.
Oleh itu, kerajaan mesti mempertimbangkan platform lain selain daripada pendaftaran dalam talian atau keperluan untuk orang ramai datang sendiri untuk mendaftar.
“Saya juga mendesak kerajaan Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mendorong Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) untuk membantu penduduk Sabah mendaftar agar diberi vaksin dan menyokong usaha kerajaan dalam mendaftarkan masyarakat untuk vaksinasi,” ujarnya.
Selain itu, terdapat juga kekurangan kesedaran mengenai vaksinasi Covid-19.

Baru-baru ini, media baru (portal TV) menemuramah orang Sabah mengenai vaksinasi Covid-19 dan nampaknya ramai yang tidak menyedari keperluan untuk mendaftar atau ketakutan akan kesan sampingan vaksin tersebut.
Vaksin bukan sahaja melindungi orang yang menerima vakinasi, tetapi juga melindungi semua orang di sekitarnya. Semakin ramai orang dalam komuniti yang diberi imunisasi dan dilindungi daripada Covid-19, semakin sukar untuk Covid-19 menular.
“Bersama-sama kita berperanan dalam memastikan negara ini bebas dari Covid-19.
“Oleh itu, saya menyeru agar para pengundi saya mendaftar secepat mungkin supaya proses vaksinasi di Penampang dapat diatur dengan baik,” jelasnya.
Vaksinasi masih dilakukan secara sukarela dan terserah kepada setiap individu untuk memutuskan sama ada akan menerima vaksin atau tidak, tetapi disarankan bagi setiap orang untuk mendaftar agar tidak ketinggalan kerana tergesa-gesa pada saat-saat akhir untuk mendaftar.

Leave a comment