
OLEH ZARA DEBA
KUALA LUMPUR: Hubungan umpama retak menanti belah antara UMNO dan Parti Pribum Bersatu Malaysia (BERSATU) dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hari ini apabila Presiden UMNO menegaskan tiada sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian yang dibuat selaras keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan DAP dalam PRU15.

“Perlu saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi PRU15. Kita tetap dengan keputusan MKT.
“No PPBM, no Anwar, no DAP. Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.
“Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional. Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang-benderang sedang menanti kita di hujung terowong,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAU 2020.
Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) hanya akan mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk mengikat jajaran politik baharu selepas PRU-15 berakhir untuk membentuk kerajaan.
“Kita harus dominan. Dominan bukan bermaksud kita angkuh. UMNO parti terbesar di negara ini, apabila UMNO tidak menjadi tonggak kepimpinan negara, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan.
“Selama 22 bulan rakyat merana, Raja-Raja Melayu dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, bahasa kebangsaan diremehkan, aset-aset kerajaan dilelong termasuk aset Lembaga Tabung Haji (TH),” tegas beliau.

Leave a comment