DARELL LEIKING

OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU : Pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) melahirkan kekecewaan terhadap pendirian kerajaan negeri yang membenarkan kerajaan Perikatan Nasional membuat keputusan tentang segala tindakan bagi mengendalikan Covid-19 di Sabah.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, pendirian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah yang tidak teguh hanya akan melambatkan proses pemulihan ekonomi di Sabah. Jika dilihat di Sarawak, kerajaan negeri yang mengendalikan sendiri pengurusan Covid-19 di negeri tersebut.

“Dengan proses vaksinasi yang sedang berjalan di negeri ini, boleh dikatakan kita kini sedang menuju ke arah pasca Covid-19 dimana sektor ekonomi kembali dibuka dan masyarakat mula bekerja.

“Namun, amat menyedihkan bila mengetahui beberapa sektor penting di Sabah masih berdepan masalah apabila pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan PN tidak begitu efisien. Pelaksanaan SOP yang tidak perlu mendatangkan masalah kepada pekerja di Sabah kerana ia mengakibatkan pencapaian dan produktiviti mereka di tempat kerja berkurang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Darell, ketika Sarawak berkuasa sepenuhnya mengendalikan proses vaksinasi Covid-19 melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi sektor perkhidmatan, hotel, pembinaan, pembuatan dan perladangan, GRS memansuhkan Pusat Arahan Covid-19 negeri Sabah yang ditubuhkan di bawah pemerintahan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Kini, segala keputusan diambil alih oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah. Kebergantungan kepada MKN ini menyebabkan Sabah hilang kuasa bagi mengendalikan dan menguruskan sendiri Covid-19 hingga menyebabkan pekerja offshore terpaksa menjalani kuarantin 10 hari sebelum pergi offshore dan dikuarantin lagi selama 10 hari apabila kembali ke Sabah dan memerlukan mereka menjalani ujian swab sebanyak dua kali bagi setiap perjalanan.

“Persoalan yang dibangkitkan sekarang adakah perlu untuk pekerja offshore Sabah menjalani kesemua prosedur itu memandangkan rakyat Sabah kini boleh ke Kuala Lumpur tanpa perlu menjalani kuarantin.

“Sudah tentu SOP sebegini akan menjejaskan kemasukan pelabur dalam industri minyak dan gas di negeri ini. Sabah akan berdepan kerugian yang besar jika pelabur memutuskan untuk melabur di Sarawak,” ujarnya.

Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini berkata, sangat penting untuk Sabah menguruskan sendiri pasca Covid-19 bagi mengelakkan Sabah berdepan kerugian ketika ekonomi dunia sedang dalam proses pemulihan.

Katanya, beliau faham mengapa semua SOP itu dikenakan tapi, kerajaan negeri perlu memberi penekanan dan keutamaan kepada masalah dihadapi pekerja di Sabah disebabkan semua SOP yang ditentukan kerajaan PN tanpa mengambil kira keadaan di negeri ini.

“Pengurusan Covid-19 sebenarnya adalah satu ujian kepada mana-mana kerajaan sama ada mereka mampu berdepan dengan cabaran semasa dan akan datang. Inilah yang kerajaan Sarawak lakukan fikirkan ketika mereka memilih untuk mengendalikan Covid-19 sendiri.

“Kerajaan Sabah seharusnya bersikap lebih proaktif dalam mengadakan perbincangan dengan semua penggiat industri di Sabah dan menampilkan kaedah sendiri dalam menguruskan Sabah semasa pasca Covid-19 berbanding meletakkan semua keputusan kepada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan GRS seharuskan menghidupkan semula Pusat Arahan Covid-19 yang sebelum ini ditubuhkan oleh Mohd Shafie dan membuat keputusan sendiri kerana kita perlu berani mengendalikan perkara berkaitan dengan ekonomi negeri,” ujarnya.

“Ini akan mengurangkan kebergantungan ekonomi dan kewangan kepada kerajaan persekutuan ini sekaligus akan meletakkan kedudukan Sabah lebih kukuh dalam mendapatkan semula hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Bagaimana kita mahu memperjuangkan hak-hak ini jika kita begitu lemah dari segi politik dan ekonomi,” jelasnya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started