
OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Warisan hari ini membidas sikap terlalu bergantung oleh Kerajaan Sabah pimpinan GRS dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan Covid 19 di negeri ini dan mendakwa bahawa sikap ini telah menyebabkan komuniti perniagaan di Sabah kini dibelenggu oleh kerumitan dan kekeliruan.
Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun menegaskan bahawa rayuan yang diutarakan oleh beberapa persatuan pelancongan dan perhotelan dari Sabah kepada Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan perjalanan antara negeri dibuka semula sepatutnya disokong dan diperjuangkan dengan berani oleh Kerajaan Negeri pimpinan GRS.
“Ianya amat menyedihkan apabila para pemain sektor pelancongan dan perhotelan di Sabah kini kelihatan seakan-akan seperti tidak dipedulikan sehingga mereka kini terpaksa berjuang sendirian melalui rayuan yang mereka buat secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan sedangkan Kerajaan Negeri pimpinan GRS lah yang sepatutnya berjuang dan berhujah untuk mereka (dengan Kerajaan Persekutuan).
Sekiranya Kerajaan Negeri pimpinan GRS tidak mempunyai rasa empati terhadap keperitan yang sedang dialami oleh para pemain sektor pelancongan dan perhotelan Sabah serta menunjukkan kepimpinan yang berani untuk memperjuangkan masalah mereka, maka tiada yang boleh diharapkan oleh rakyat Sabah dari GRS mengenai isu-isu yang lebih besar seperti MA63 dan Petronas, ” katanya dalam satu kenyataan.
Siambun mengatakan bahawa sektor pelancongan dan perhotelan di Sabah akan menghadapi saat yang suram memandangkan industri penerbangan antarabangsa dijangka tidak akan pulih dalam waktu dekat.

“Saya telah dimaklumkan bahawa ramai Menteri-menteri GRS tidak berminat membaca apa-apa laporan yang berkaitan dengan isu ekonomi, maka saya ingin berkongsi dengan mereka disini bahawa beberapa institusi kewangan seperti Maybank Investment Bank Research mengunjurkan bahawa pemulihan sektor penerbangan dimana orang ramai menggunakan perjalanan udara semula mungkin hanya akan terjadi pada tahun 2023.
Kita juga telah mendapat pengesahan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah pada 30 Mac yang lalu bahawa pelancong yang telah mendapat vaksinasi tidak dikecualikan dari proses kuarantin dan juga bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum memberi pengiktirafan kepada vaksinasi sebagai pasport untuk melakukan perjalanan tanpa kuarantin.
Ini memberi gambaran yang jelas kepada kita semua bahawa sehingga masyarakat antarabangsa percaya bahawa Covid-19 berjaya dibendung dan kuarantin tidak lagi perlu, Sabah sepatutnya sudah bersedia dengan kemungkinan bahawa pelancong-pelancong dari China yang biasanya menjadi kumpulan pelancong asing terbesar yang melawat Sabah tidak akan datang ke negeri ini sehingga 2023.
Oleh yang demikian, para pemain sektor pelancongan dan perhotelan di Sabah akan melalui 2 tahun yang amat getir dan Warisan sedar dengan keperluan mendesak mereka yang amat memerlukan kehadiran pelancong domestik agar mereka dapat bertahan dan perkara ini sepatutnya diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri pimpinan GRS.

Sektor pelancongan dan perhotelan di Sabah menjana pendapatan bernilai berbilion ringgit setiap tahun kepada Negeri Sabah dan pada masa yang sama, memberikan kesan pengganda amat diperlukan oleh ratusan ribu rakyat Sabah melalui pelbagai cara,” tegasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Ahmad Shah berkata ianya sangat malang kerana Kerajaan Negeri pimpinan GRS telah membubarkan Pusat Arahan Covid-19 Sabah dan seterusnya, melepaskan tanggungjawab mereka terhadap rakyat Sabah kepada Kerajaan Persekutuan begitu sahaja.
“Rakyat Sabah masih ingat betapa terdesaknya GRS untuk menggambarkan dirinya sebagai ‘pemimpin sejati untuk Sabah’ melalui gimik dan kempen politik kotor serta pembohongan yang dibuat terhadap WarisanPlus semasa PRN yang lalu dan ianya amat meloyakan apabila GRS kini melepaskan diri dari amanah sebagai pemimpin, akauntabiliti dan tanggungjawab yang sepatutnya mereka pikul dengan menyerahkan semua masalah kepada Kerajaan Persekutuan untuk diuruskan.
Pusat Arahan Covid 19 Sabah yang telah ditubuhkan oleh Datuk Seri Shafie Apdal yang bertujuan untuk menggubal serta melaksanakan SOP selaras dengan keadaan semasa pandemik di negeri ini telahpun dibubarkan oleh GRS dan kini, Parlimen dan DUN pula telah digantung – rakyat Sabah yang kini dihimpit dengan pelbagai masalah serta komuniti perniagaan di Sabah yang dalam keadaan kebuntuan kini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Satu-satunya mandat dari Persekutuan yang dibanggakan oleh GRS ialah autonomi politiknya dimana parti-parti komponen boleh berunding sesama sendiri mengenai isu politik – malangnya, ribuan rakyat Sabah yang kini sedang berkerja siang dan malam sebagai penunggang Food Panda dan pemandu Grab untuk menyara keluarga masing-masing tidak mempunyai masa untuk bersama-sama bersorak dengan autonomi politik GRS ini.
Apa yang diinginkan oleh rakyat Sabah adalah kepemimpinan yang berani dan bertanggungjawab semasa krisis kesihatan dan ekonomi negara ini,” katanya.
BERITA BERKAITAN: –

Leave a comment