
OLEH SYAFIA AMIN
PAPAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta tidak terus berdolak dalih dalam melaksanakan Undi 18 yang telah mendapat sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Setiausaha Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Papar, Anwar Hamzah berkata, alasan diberikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kononnya banyak lagi langkah perlu diambil kira adalah tidak munasabah.
Kenyataan pemimpin PN ini menggambarkan anak muda seolah-olah tidak layak mewakili suara belia Malaysia. Sampai bila kerajaan PN mahu menafikan hak anak muda untuk mengundi pada usia 18 tahun.
“Kita melihat tindakan melewatkan pelaksanaan Undi 18 ini sebagai permainan politik jahat kerana cadangan ini telah menerima sokongan sebulat suara dan kini, ia tidak diwartakan.
“Kita tidak mahu apabila pilihan raya di adakan, rang undang-undang Undi 18 tahun masih dalam proses untuk di luluskan. Ini secara jelas PN begitu takut dengan gelombang anak muda yang mahukan perubahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, berlainan dengan isu di Sarawak apabila di berikan tekanan, kerajaan PN dengan segera membuat pengumuman akan membentangkan kertas kerja laporan Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengelakkan rakan sekutunya di Sarawak menarik diri dari Kabinet Persekutuan.

Leave a comment