
OLEH ZARA DEBA
PAPAR: Berhentilah berpolitik dan lihatlah kesukaran yang dihadapi oleh rakyat Sabah yang kini berdepan dengan kenaikan harga barangan.
Demikian rayuan yang diharap akan diberi perhatian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan mengambil pendekatan menutup mata.

Timbalan Ketua Wira Warisan Papar, Flavianus @ Kipol berkata, kebelakangan ini harga barangan keperluan asas dilihat semakin meningkat dan ianya amat membebankan rakyat.
Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan perlu dilakukan oleh agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Berdasarkan perkongsian peniaga, Al Hamra di Kinarut, mereka mendapati harga ayam, sayur-sayuran dan plastik kontena untuk pelanggan ‘tapau’ makanan juga naik.
“Adakah rakyat akan terus dibebani dengan harga yang mencengkam tanpa ada kawal selia dari pihak KPDNKK.
“Kita semua tahu keperluaan asas seperti ini terutama kepada peniaga kecil yang baru mula hendak bernafas.
“Namun, dengan kenaikan harga barangan, situasi ini akan membuatkan keadaan mereka bertambah sukar apatah lagi menjelang musim perayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Flavianus berkata, sektor ekonomi negara sekarang belum pulih, kenapa bebankan rakyat dengan harga barang yang semakin tinggi.

Leave a comment