
OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Operasi Bazar Ramadan di negeri Sabah tidak dibenarkan untuk tahun kedua berturut-turut.
Perkara itu diputuskan oleh kerajaan negeri susulan peningkatan kes harian Covid-19 di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keadaan kes Covid-19 di negeri Sabah yang masih tidak stabil dan telah wujud beberapa kluster baharu akibat penganjuran majlis sosial dan keramaian.
Malah, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini juga dilihat masih lagi rendah.
Jika dilihat tahap pematuhan SOP di Kota Kinabalu masih lagi tercorot dengan 96 peratus bersama dengan empat daeran lain iaitu Kinabatangan, Kota Belud, Keningau dan Tawau.
Sehingga kini, sebanyak 55,294 kumulatif kes Covid-19 direkodkan di negeri ini, dengan 399 kes kematian. Untuk hari ini sahaja, sebanyak 60 kes baharu Covid-19 dilaporkan.

Leave a comment