
OLEH ZARA DEBA
SEMPORNA: Biarpun ramai pihak tampil membantu memberi bakul makanan namun, keperluan persekolahan anak-anak mangsa kebakaran Kampung Simunul seolah-olah tidak dipedulikan.
Dengan itu, atas dasar keprihatinan, Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Semporna tampil menghulurkan bantuan dengan memberikan barangan kelengkapan persekolahan kepada 180 orang pelajar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, hari ini.
Setiausaha Wira Warisan merangkap Ketua Wira Warisan Semporna, Mohd Haslan Rahi berkata, kebakaran yang berlaku itu turut mengakibatkan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka turut musnah dalam kebakaran.
“Dari segi bantuan bakul makanan, kita sentiasa memberikannya kepada mangsa-mangsa kebakaran. Namun, kita tidak mahu terlepas pandang bahawa anak-anak mereka juga memerlukan kelengkapan persekolahan.

“Atas sebab itulah, Wira dan Wirawati Warisan Semporna mengambil inisiatif menghulurkan bantuan keperluan persekolahan ini agar anak-anak mereka dapat meneruskan sesi persekolahan,” ujarnya.
Beliau berharap bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan keluarga yang terlibat dengan musibah kebakaran itu.
Dalam kejadian kebakaran di Kampung Simunul, Semporna pada 2 April lalu, 91 buah rumah musnah terbakar dan mengakibatkan 528 orang kehilangan tempat berlindung.

Leave a comment