
OLEH SYAFIA AMIN
PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan kesediaan membentuk gabungan politik baharu menjelang pilihan raya umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, bagi menghadapi pilihan raya, beliau percaya satu gabungan politik antara parti perlu diwujudkan dan diperkukuhkan bagi memberi tawaran kepimpinan kepada rakyat.
Katanya, beliau amat mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan wadah politik lain untuk kepentingan rakyat selagi ianya tidak bertentangan dengan prinsip yang dipegang.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Sabah, di Ibu Pejabat UPKO, di sini hari ini.
MUDA Sabah diketuai oleh Pengerusinya, Shahrizal Denci dan Timbalan Pengerusi, Lloyd Bosuin serta ahli jawatankuasa eksekutif MUDA Sabah.

Dalam kunjungan itu Ewon menyatakan sokongan terhadap pendaftaran parti MUDA sebagai satu wadah kepimpinan rakyat.
Dari segi program-program kemasyarakatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian ini juga bersedia untuk bekerjasama menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan Kadamaian.
“Saya akan terus berkepimpinan melalui wadah UPKO kerana ini adalah keluarga saya. Sesusah mana pun keluarga saya, saya tetap kekal di sini dan berusaha menambahbaik apa yang perlu ditambahbaik.
“Dalam masa yang sama, saya mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan wadah politik lain untuk kepentingan rakyat selagi ianya tidak bertentangan dengan prinsip yang saya pegang.
“Untuk menghadapi pilihanraya, saya percaya sesuatu gabungan antara parti perlu diwujudkan dan diperkukuhkan bagi memberi tawaran kepimpinan kepada rakyat,” katanya.
Turut hadir Bendahari Pergerakan Pemuda UPKO Carlye Lajimin, Setiausaha Pergerakan Wanita UPKO Rowindy Lawrence, Ketua Generasi Muda (GEM) UPKO Maxolvine Sintore dan Setiausaha Kerja GEM Seheral Linus.
Ewon akan mengadakan kunjungan balas kepada Parti MUDA dan turut menjemput barisan pimpinan MUDA Sabah berkunjung ke Kadamaian.

Leave a comment