
OLEH NORAZMI HJ. ALIMAT
KOMEN: Wira Warisan mempersoalkan samada pengumuman Perdana Menteri yang menyatakan Sarawak dan juga Sabah kini akan digelar sebagai ‘wilayah’ adalah sebagai suatu yang pasti atau hanya sekadar polimik politik.
Persoalannya, adakah kini Perdana Menteri akan mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan sama rata seperti yang termaktub dalam perjanjian asal MA63.
Dan adakah pengumuman ini akan melibatkan pindaan semula kepada perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang umum tahu telah dijayakan oleh Pakatan Harapan dan Warisan semasa kita menjadi kerajaan dahulu namun gagal disebabkan kekurangan undi 2/3 majoriti yang mana kebanyakkan ahli Parlimen yang tidak mengundi adalah mereka yang kini dalam kerajaan Muhyiddin?
Usahlah bermain dengan hati dan perasaan orang Sabah dan orang Sarawak. Kita tidak mahu janji yang hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’. Keseriusan kerajaan PN di peringkat pusat dan GRS di peringkat negeri dalam perkara ini adalah amat ditagih.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pernah menyatakan bahawa isu MA63 ini akan selesai dalam masa 6 bulan selepas mereka (PN/GRS) memerintah tapi sehingga kini tiada khabar yang kita dengar.
Wira Warisan amat tegas dalam isu ini, kita sudah berjaya 17 daripada 21 perkara dalam menuntut hak kita di bawah MA63 sebelum ini, kini kita menanti apa usaha dan komitmen kerajaan PN/GRS dalam perlaksanaannya dan juga lebihan 4 perkara yang masih belum diputuskan.”
Jika benar kesungguhan Muhyiddin untuk gelar kita sebagai ‘wilayah’ Wira Warisan dan seluruh rakyat Sabah dan Sarawak menuntut agar Parlimen dapat bersidang dengan kadar segera dan usul meminda semula Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan ini dibawa, dibahas dan disokong semula sebulat suara.
Wira Warisan juga mencabar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji untuk berani membuka sidang DUN dan mengusulkan perkara ini agar dapat dibawa kepada perhatian Perdana Menteri dan merealisasikannya, bukannya hanya berpolimik politik dan menyedapkan seketika hati orang Sabah.
Kini, orang Sabah bukan lagi dungu dan senang dimanipulasi. Terutama golongan anak muda kita yang sudah jauh berfikiran matang dalam menentukan hak kita di bawah MA63.”
Secara peribadi, saya meragui keikhlasan pengumuman Perdana Menteri berkenaan gelaran wilayah kepada Sabah dan Sarawak ini. Jika hal UNDI 18 pun mereka payah mahu laksanakan inikan pula pindaan besar kepada perkara ini mahu dibuat.
Tambahan lagi, takkan lah pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan ini hanya mahu disahkan melalui mesyuarat kabinet antara mereka sahaja? umpama kata ‘hairan bin ajaib’, jika berani buka Parlimen dan kita berdebat dan undi bersama menurut aturan yang semoleknya.
Komen ini merujuk kepada kenyataan oleh Perdana Menteri di dalam sebuah majlis di Kuching, Sarawak semasa lawatan rasmi beliau ke Sarawak baru-baru ini.
DontStopBelieving
- Norazmi Hj. Alimat adalah Exco Wira Warisan

Leave a comment