
OLEH SYAFIA AMIN
KUDAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Ben Chong Chen Bin mempertikaikan keputusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak membenarkan aktiviti Bazar Ramadan di negeri ini.
Menerusi laman Facebooknya, Ben menyifatkan keputusan itu sebagai satu tindakan tidak cerdik dan menyusahkan rakyat.
“Tindakan itu seolah-olah kerajaan negeri takutkan bayang-bayang sendiri. Walhal, mereka masih akur dengan keputusan pusat untuk membenarkan pasar mingguan dan pasar malam beroperasi.
“Mungkinkah Sabah tidak berani menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Pusat.
“Apa beza pasar malam dengan Bazaar Ramadan. Kedua-duanya memang sesak dengan pelanggan dan prosedur operasi standard (SOP) juga gagal dipatuhi. Ini bermakna jangkitan Covid-19 boleh berlaku di pasar malam walaupun ianya beroperasi seminggu sekali,” katanya.

Ben berkata, ketika pasar malam dibenarkan beroperasi alasan diberikan adalah ianya untuk menjana ekonomi peniaga kecil. Tetapi, bagaimana dengan Bazar Ramadan, mereka juga terdiri daripada peniaga kecil yang ingin menjana pendapatan demi kelangsungan hidup.
Peniaga sudah cukup terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika mereka ingin menjana pendapatan, larangan pula diberikan.
Isunya ialah kerajaan negeri gagal berfikir bagaimana memudahkan umat Islam yang berpuasa untuk mendapatkan juadah berbuka.
“Kerajaan kena mengambil kira keadaan dimana, dalam kalangan suri rumah ramai yang bekerja dan pastinya mereka tidak sempat menyediakan juadah berbuka puasa. Bazar Ramadan adalah pilihan yang baik untuk mereka membeli juadah berbuka.
“Bagaimana pulak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri? Adakah umat Islam tidak dibenarkan menyambut Aidilfitri kerana takut berlaku penularan Covid-19,” ujarnya.
Ben menyarankan kerajaan GRS mencari kaedah menang-menang dengan menggunakan sistem penggiliran bagi menghadkan bilangan peniaga di Bazar Ramadan disamping mengamalkan SOP yang ketat.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memainkan peranan dalam mengawal pelanggan dengan memastikan SOP dipatuhi sepanjang berada di Bazar Ramadan. Ini bagi memastikan ekonomi peniaga kecil tidak terus terjejas.
Ketika perusahaan restoran dan pasar raya dibenarkan beroperasi, peniaga kecil-kecilan terpaksa akur dengan keputusan kerajaan GRS ini.

Leave a comment