
KOTA KINABALU: Empat kawasan di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu sehingga 23 April ini bagi menyekat penularan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini juga akan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk.
Kawasan terlibat ialah Kampung Gayang, di Tuaran, serta Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk, ketiga-tiganya di daerah Sandakan.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu dilakukan setelah penilaian risiko dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta atas nasihat KKM yang mengesahkan berlaku penularan jangkitan virus itu di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.
Ismail Sabri berkata, KKM melakukan 38 ujian saringan di Kampung Gayang dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya lima kes positif Covid-19 direkodkan sementara di ILP, 88 ujian saringan dilakukan dengan tujuh kes positif virus itu direkodkan.
“KKM juga melaksanakan sembilan ujian saringan di Taman Permata dan lima kes positif direkodkan manakala lima kes dilaporkan di Taman Seri Labuk hasil daripada enam ujian saringan,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Jumaat.

Pada keseluruhan, kes harian positif Covid-19 terus melonjak dengan 1,854 kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Terdapat 20 kes import dan 1,834 kes penularan dalam negara membabitkan 1,618 rakyat tempatan dan 216 warga asing,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, terdapat 14,805 kes aktif di seluruh negara dengan 169 dirawat di unit rawatan rapi.
“Seramai 79 pesakit Covid-19 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, KKM menerima lima kematian berkaitan Covid-19 melibatkan empat rakyat tempatan dan seorang warga asing, satu darinya di Sabah.
Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, Sarawak menjadi negeri tertinggi melaporkan kes iaitu 555.
Selangor melaporkan 403 kes diikuti Pulau Pinang (176) Kelantan (143), dan Sabah merekodkan 139 kes.

Leave a comment