
OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mempertikaikan keikhlasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengumumkan pertukaran terma Wilayah Sabah dan Sarawak baru-baru ini.
Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, pengumuman itu merupakan langkah ‘syok sendiri’ memandangkan pengumuman itu tidak membabitkan pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, rakyat Sabah tidak akan terus ditipu dengan gimik-gimik sebegini. Cukup jelas ini hanyalah gimik pilihan raya dan rakyat Sabah tidak akan diperbodohkan dengan gimik sebegini.
Perdana Menteri perlu membawa usul ini untuk pindaan di Parlimen. Namun, ketika ini beliau sendiri yang menggantung persidangan Parlimen.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru ini berkata, Parlimen harus bersidang untuk memberi kesan kepada pengisytiharan Sabah sebagai sebuah wilayah.
“Apabila ia diumum begitu sahaja, itu kita panggil ‘syok sendiri’. Kita panggil Sabah sebuah wilayah, tetapi roh dan intipati sesebuah wilayah itu tidak ada. Hak minyak dan gas masih dinafikan, hak-hak pengeksportan masih perlu kelulusan Malaya, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih tidak ditunaikan. Jadi syok sendiri sahajalah.
“Dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih dikenali sebagai ‘negeri’ bersama negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis. Atas sebab itu pindaan Perlembagaan Persekutuan diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutu Junz, Warisan pernah mengusulkan pindaan Parlimen untuk menjadikan Sabah sebagai rakan sekutu.
“Pada April 2019, mendiang Datuk Liew Vui Keong dari Warisan yang merupakan Menteri Undang-undang di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir sudah pun membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
“Ini dibuat untuk memberi kesan perundangan bagi mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak. Masa itu kami perlukan dua pertiga majoriti. Tapi tahu apa yang berlaku, daripada 197 Ahli Parlimen yang hadir, 138 undi setuju, 59 tidak mengundi.
“Jadi 59 Ahli Parlimen itu menggagalkan usul tersebut dan mereka termasuk seorang Ahli Parlimen Sabah yang merupakan Timbalan Ketua Menteri sekarang dan sekumpulan lagi Ahli Parlimen Sarawak.
“Dengan itu, saya menganggap pengumuman Perdana Menteri itu sebagai gimik pilihan raya untuk tarik undi. Jika dapat sokongan nanti, penyakit lama akan berulang. Akan wujud macam-macam jawatankuasa dan kajian untuk terus menafikan hak-hak Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Junz berkata, sekiranya benar Muhyiddin ikhlas, biarlah Parlimen bersidang. Biarlah Ahli Parlimen sebulat suara mengundi menyokong pindaan itu di Parlimen.
Beliau juga memberi jaminan semua wakil rakyat Warisan akan menyokong usul bagi meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia tersebut.
BERITA BERKAITAN: –

Leave a comment