SHAFIE APDAL

OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: “Saya bukan obses (jadi Perdana Menteri) tapi, sekiranya itu kehendak rakyat mahukan kita menerajui pimpinan negara, kenapa tidak”.

Demikian kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal ketika temubual secara langsung melalui Instagram Sinar Harian semalam dengan topik ‘Calon PM ke-9 Masih Samar’.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, beliau melihat cadangan menamakannya sebagai calon Perdana Menteri itu tidak mendatangkan sebarang masalah.

“Sejak 63 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, tiada seorang pun pimpinan dari Pantai Timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Tidak semestinya saya, mungkin ada lagi tokoh politik yang layak dan itu tidak menjadi masalah asalkan kita reform sistem atau gelombang yang ada untuk melihat perubahan dalam negara ini.

“Tidakkan selama ini pimpinan negara hanya berada di Kedah, Johor, Pulau Pinang atau Pahang. Kali ni tidakkan tidak boleh Perdana Menteri dari Sarawak atau Sabah,” katanya.

Mohd Shafie berkata, semasa Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mencadangkan namanya sebagai calon Perdana Menteri sebelum ini, ketika itu beliau belum membuat sebarang keputusan. Namun, cadangan itu berubah selepas Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat seminggu selepas itu.

Menurutnya, persoalan layak atau tidak ini bergantung kepada kehendak rakyat di negara ini. Sekiranya rakyat inginkan beliau menerajui pimpinan negara, beliau bersedia berbuat begitu.

“Bagi saya perhitungan siapa akan menjadi Perdana Menteri, biarlah rakyat yang tentukan. Bukan kita atau sesiapa yang menentukan.

“Bukan menjadi idaman saya sehingga tidak boleh tidur untuk menjadi Perdana Menteri. Tapi, idaman saya adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat di negara ini, khususnya di Sabah. Saya ingin mencurahkan khidmat bakti saya kerana selama 32 tahun saya berkhidmat dalam pelbagai jawatan dan kementerian di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Shafie, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, dengan usaha Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung, beliau akan terus memperkukuhkan kedudukan Warisan.

Mengenai kemungkinan bekerjasama dengan UMNO, Mohd Shafie berkata, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan semalam, beliau menyatakan keutamaan Warisan ketika ini adalah memperkuatkan keahlian dan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Tiada ertinya kita bergabung kalau rumah (parti) kita masih usang dan berada dalam keadaan tidak menentu.

“Jika dilihat PKR juga berdepan dengan masalah ahli parlimen keluar parti di Sarawak dan Sabah. Atas sebab itu, kita mahu perkuatkan parti walau berdepan dengan wakil rakyat kita yang melompat tapi ianya setakat itu sahaja.

“Kita akan terus berusaha memperkuatkan parti biarpun perlu berdepan pelbagai rintangan dan cabaran. Apa yang penting pada masa akan datang adalah kepentingan rakyat dan negara sentiasa diberi keutamaan.

“Ini adalah soal negara dan rakyat jadi kita kena kenal pasti hala tuju mana kita mahukan untuk bekerjasama, bukan dengan tawaran jawatan atau projek bagi membentuk kerjasama.

“Saya tahu rakyat cukup dahagakan perubahan bukan hanya untuk mengatasi Covid-19 tetapi juga, menangani masalah ekonomi yang cukup membimbangkan ketika ini,” jelasnya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started