OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Warisan hari ini mengulangi pendirian parti tersebut yang tidak mahu terburu-buru membuat perjanjian pilihan raya dengan parti politik atau gabungan yang lain semata-mata untuk mendapat jawatan.

Dan beberapa pemimpin dari parti itu menegaskan bahawa mana-mana pakatan yang bakal dimeterai haruslah mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Malaysia serta pengiktirafan terhadap kemampuan rakyat Sabah dan Sarawak untuk membina semula negara ini.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan mengatakan bahawa selama 58 tahun, rakyat Sabah dan Sarawak telah dinafikan peluang untuk memimpin negara ini walaupun ramai di antara mereka yang layak dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberi.

“Saya bukan bercakap mengenai jawatan Menteri yang diberikan kepada orang politik dari Sabah/Sarawak yang akan datang dan pergi tetapi mengenai keperluan satu formula berkekalan untuk membolehkan lebih ramai penjawat awam yang layak dari kedua-dua Negeri itu dilantik untuk memimpin badan-badan Kerajaan Persekutuan utama serta pemerkasaan mereka.

AHMAD HASSAN

Perkara ini perlu kerana jika bekas Ketua Hakim Negara Malaysia, Tan Sri Richard Malanjum sendiri pun telah dinafikan jawatan itu dua kali (dia akhirnya dilantik semasa era PH/Warisan), apatah lagi penjawat-penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bekerja di badan-badan kerajaan Persekutuan?

Sekiranya syarikat-syarikat tersenarai dan Multi National Corporations (MNC) tidak mempunyai masalah untuk melantik ratusan ribu rakyat Sabah dan Sarawak yang berkebolehan untuk memegang jawatan-jawatan penting yang menentukan nasib syarikat mereka, maka mengapa perkara yang sama tidak dapat dipraktikan ketika dalam soal penggubalan Akta, dasar dan polisi untuk Malaysia?

Jangan hanya bercakap untuk menghormati hak-hak Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam MA63 seolah-olah kedua-dua Negeri ini beroperasi secara silo di Malaysia dimana apa yang kita perlukan hanyalah beberapa hak autonomi dan kewangan sebagai balasan kepada minyak dan gas kita.

MA’AMUN SULAIMAN

Dua puluh lima kerusi Parlimen milik Sabah menggambarkan hak kita untuk menentukan arah negara dan untuk perkara ini, semuanya bermula dari draf dasar atau polisi yang disediakan oleh Agensi-agensi milik Kementerian yang berkaitan – tidak kira berapa banyak autonomi atau hak kewangan yang kita terima, perlaksanaan Akta, dasar atau polisi Kerajaan Persektuan yang diluluskan masih akan mempengaruhi rakyat Sabah,” katanya hari ini.

Sementara itu, ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman mengatakan bahawa pakatan pilihan raya yang mahu dimeterai oleh Warisan bakal mencerminkan keseimbangan antara hak yang dimiliki Sabah dan Sarawak di bawah MA63 dan aspirasi parti itu untuk membina semula Malaysia.

“Warisan tidak boleh memeterai perjanjian semata-mata kerana mahu berkuasa, kita kena pastikan bahawa kita juga memiliki kelebihan dalam perkara berkaitan dengan MA63 serta pembangunan negeri-negeri yang kurang maju dan kelebihan ini mesti dinyatakan dengan jelas.

Sabah berkongsi banyak masalah berkaitan dengan kemiskinan, taraf pendidikan dan kesihatan di kawasan luar bandar, peluang pekerjaan dan perniagaan untuk belia, infrastruktur, keselamatan serta kekangan IT dengan negeri lain yang kurang maju di Malaysia contohnya Sarawak, Kelantan, Perak dan Terengganu.

Sekiranya pakatan itu hanya untuk memastikan ahli politik dari Sabah menjadi Menteri, maka perjanjian itu tidak berguna kerana Warisan percaya bahawa pendekatan yang sepatutnya digunakan ialah kesemua negeri ini duduk bersama dan mencari jalan penyelesaian secara berkumpulan dan Kerajaan Persekutuan pula akan menjadikannya keutamaan nasional, sama sepertimana Sabah dan Sarawak bekerjasama dalam penyelasaian 21 Perkara dalam MA63.

TERRENCE SIAMBUN

Warisan mempunyai Shafie Apdal yang memahami keperluan rakyat Malaysia yang miskin kerana dia juga berasal dari keluarga biasa dan faham mengenai pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh negara ini sepanjang 30 tahun beliau berkhidmat di Kerajaan Persekutuan di pelbagai Kementerian maka kita dapat sediakan satu rancangan pembangunan ekonomi yang betul khusus untuk negeri-negeri yang kurang maju ini dan menjadikannya agenda utama negara,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun mengatakan bahawa sebab praktikal memungkinkan parti itu mengadakan pakatan sekiranya Warisan berhasrat untuk memainkan peranan yang penting dalam membangunkan semula negara berdasarkan agenda Perpaduannya.

“Tetapi itu tidak bermakna kita akan membuat perjanjian dengan mereka yang telah berkomplot untuk menjatuhkan Kerajaan PH melalui Sheraton Move dan kita juga tidak berminat untuk bergabung dengan mereka yang beria-ia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Warisan tidak akan dapat mempromosikan agendanya yang tersendiri melalui perikatan yang pada masa yang sama, mempromosikan agenda yang kita tentang lebih-lebih lagi jika perikatan, pakatan atau gabungan itu dikuasai oleh Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang ‘kelaparan’ dan mementingkan diri sendiri.

Warisan mungkin tidak mempunyai wang untuk membeli ahli politik ataupun pengundi tetapi sekurang-kurangnya kita masih boleh berbangga kerana parti. ini mempunyai martabat, kredibiliti dan semangat untuk melakukan apa yang betul.”

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started