
OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman mencabar Perdana Menteri untuk mengembalikan hak-hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya mereka benar-benar ikhlas kepada rakyat Sabah.
Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, jika benar Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ingin menambat hati rakyat Sabah, kembalikan semula hak-hak Sabah.
Jika Warisan mampu menuntut 17 daripada 21 perkara yang terkandung dalam MA63 semasa memerintah biarpun hanya dua tahun, PN perlu mengembalikan empat lagi tuntutan itu kepada Sabah.
“Bayangkan selama lebih 30 tahun UMNO memerintah, langsung tiada tuntutan MA63 dikembalikan kepada Sabah. Ini terjadi akibat ketamakan pemimpin.
“Sekiranya dilihat pemimpin yang ada, ketika menjadi pembangkang dia cukup lantang bersuara hingga menuntut buat Kad Pengenalan (IC) Sabah. Tapi, apabila menjadi kerajaan, dia senyap tidak bersuara,” katanya ketika siaran langsung menerusi Facebook bertajuk ‘Wilayah Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963, di sini semalam.
Mengenai Wilayah Sabah, Mohd Azis berkata, apabila Perdana Menteri mengumumkan Sabah sebagai wilayah timbul persoalan bagaimana perkara itu hanya menjadi sekadar satu pengumuman.
Semasa Warisan sebahagian daripada kerajaan persekutuan, Warisan membawa usul meminda kedudukan Sabah ini dalam persidangan Dewan Rakyat.
“Kita hanya mahu apa yang termaktub dalam perlembagaan asal dikembalikan. Kenapa pemimpin Sabah dan Sarawak ketika itu tidak menyokong pindaan ini. Jadi, saya mahu mencabar Perdana Menteri, kalau benar-benar ikhlas isu tuntutan Sabah dalam MA63, bawa usul ini ke Parlimen.
“Saya mengajak rakan-rakan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dari Sabah perlu bersatu untuk sama-sama menyokong usul kembalikan status rakan sekutu ini. Kami selaku pembangkang akan memberi sokongan 100 peratus tanpa berbelah bahagi kerana itu hak yang patut dipertahankan selaku orang Sabah,” jelasnya.
Tambahnya, jika dilihat pindaan MA63 pada tahun 1976 adalah tidak sah dari segi perlembagaan kerana Perkara 161E Perlembagaan Malaysia menyebut perlembahaan yang dipersetujui pada 1963 tidak boleh diubah sama sekali tanpa persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT).
Perkara ini menarik untuk diketahui oleh orang Sabah dan isu inilah yang akan Warisan suarakan dalam persidangan Parlimen akan datang.

Leave a comment