MOHD ISMAIL AYOB

OLEH SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) telah meletakkan pendirian bahawa politik negara perlu berpegang teguh kepada konsep Unity dan yang menguntungkan Sabah serta Sarawak agar pembangunan negara dapat dibina semula tanpa ada masyarakat yang terabai seperti yang berlaku sejak penubuhan Malaysia.

Timbalan Ketua Wira WARISAN Sabah, Mohd. Ismail Ayob berkata, parti itu tidak akan terperangkap dalam kepompong politik lapuk yang dikawal oleh segelintir pemimpin elit yang mahu terus berkuasa walaupun semakin hilang pengaruh dan penyokong.

Membidas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Raymond Ahuar yang disiarkan portal berita hari ini, Mohd. Ismail berkata, Presiden WARISAN telah menegaskan bahawa untuk Malaysia maju ke hadapan, percaturan politik kini perlu melangkaui sentimen Anwar-Mahathir yang telah berlarutan lebih 20 tahun.

“Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah menegaskan politik negara perlu matang ‘beyond Anwar-Mahathir’ dalam pilihan raya umun akan datang demi kepentingan rakyat.

“Beliau juga telah menyatakan bahawa kerjasama WARISAN dalam PRU 15 ialah minus PH, malah selepas pilihan raya umun 2018, WARISAN tidak pernah menyertai PH sebaliknya cuma menjalin kerjasama demi kepentingan negara.

“Jadi tidak timbul persoalan WARISAN perlu membincangkan kerjasama dengan PH kerana pendirian parti sudah jelas dinyatakan oleh Presiden WARISAN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Ismail yang juga Ketua WARISAN Bahagian Kinabatangan berkata, tuduhan Raymond bahawa Mohd. Shafie adalah proksi Mahathir juga tidak berasas, kerana kerjasama yang dijalin sebelum ini dengan bekas Perdana Menteri itu adalah demi menjatuhkan regim terdahulu yang terpalit dengan rasuah.

Tegasnya, ketidakstabilan politik negara sekarang berpunca daripada pengkhianatan pemimpin-pemimpin PKR sendiri menyebabkan Kerajaan PH runtuh.

“PKR bukan sahaja perlu memperbaiki rumah sendiri agar pemimpin-pemimpin mereka setia kepada parti, malah mereka perlu sedar bahawa parti itu tidak mempunyai kekuatan di Sabah.

“Dalam PRN Sabah, mereka meminta untuk bertanding di 15 kerusi DUN tetapi hanya mendapat tujuh kerusi dan cuma mampu menang dua daripadanya.

“Inilah masalahnya bila parti itu berdegil dan bercakaran sesama sendiri, mereka tidak seperti DAP Sabah yang berjaya membuktikan kekuatan serta tidak pernah berdepan dengan isu dalaman sepanjang bersama WARISAN Plus,” katanya.

Tegas Mohd. Ismail, tuduhan terhadap penglibatan Mohd. Shafie dalam Langkah Sheraton hanya membuktikan kedangkalan Raymond dalam menghidu politik dalaman PKR.

“Adakah Raymond lupa bagaimana mudahnya pemimpin PKR menjadi pengkhianat dan menyokong Muhyiddin sehingga runtuhnya Kerajaan PH.

“WARISAN pula berusaha mempertahankan Kerajaan PH tetapi apakah daya kita jika pemimpin-pemimpin PKR beramai-ramai melompat dan mengalihkan sokongan.

“Jika Raymond mahu PKR Sabah memutuskan hubungan dengan WARISAN teruskan sahaja kerana WARISAN juga tidak mahu mendukung biawak hidup yang akhirnya hanya akan merosakkan diri sendiri,” katanya.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started