
OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Aktivis politik, Zainnal Ajamain mempersoalkan kesahihan pindaan yang dibuat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada tahun 1976 yang dilihat tidak mematuhi Perlembagaan Malaysia.
Beliau berkata, pindaan itu sepatutnya tidak sah kerana Perkara 161E Perlembagaan Malaysia secara jelas menyatakan, apabila akta telah diluluskan Parlimen Malaysia maka, apa-apa juga yang sudah dibuat dalam akta ini tidak boleh diubah.
“Warisan telah membuat cubaan meminda semula Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia untuk kembalikan hak rakan sekutu.
“Sama ada kerajaan mahu bagi atau tidak, pindaan dalam MA63 telah dibuat pada Julai 1976. Jadi, bila perjanjian itu dilanggar dan tidak diperbaiki maka, MA63 sepatutnya tidak lagi boleh digunakan.
“Apabila ia tidak terpakai, ada lagi Malaysia? Jadi, kita tanya Putrajaya, adakah mereka mahu Malaysia? Bukan bermakna Sabah ingin keluar dari Malaysia tapi, perkara yang sepatutnya tidak boleh diubah, mereka ubah pada 1976.
“Jadi cara mudah adalah untuk menjadikan MA63 tidak sah dan bawa ke Mahkamah London dengan menyenaraikan perlanggaran yang berlaku dalam perjanjian itu. Apabila Mahkamah London membuat penghakiman dan menjadikan MA63 tidak sah bermakna, tiada lagi Malaysia, Malaysia akan berpecah,” katanya semasa siaran langsung menerusi Facebook bertajuk ‘Wilayah Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963, di sini semalam.
Dalam soal Wilayah Sabah, Zainnal berkata, pada asalnya Sabah dan Sarawak adalah sebuah negara namun, kedudukan itu diubah ketika pindaan dilakukan pada 1976.
Katanya, hak Sabah telah dinafikan. Kedudukan Sabah sebagai wilayah sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia namun, ia diubah. Apa sebenarnya menjadi hak Sabah perlu dikembalikan dan bukannya diumumkan sebegitu rupa oleh Perdana Menteri.
“Kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah termaktub dalam perlembagaan dan perlembagaan itu lebih agung daripada Perdana Menteri.
“Jadi apabila Perdana Menteri cakap, dia kembalikan Sabah sebagai Wilayah dan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak hanya tersenyum bersetuju ini bukti mereka tidak tahu tentang MA63.
Seharusnya Ketua Menteri Sabah dan Sarawak bersuara mempertahankan kedudukan Sabah kerana status wilayah itu sememangnya hak Sabah yang termaktub dalam perlembagaan.
Pindaan perlembagaan pada 9176 menjadi titikk mula hak minyak dan gas Sabah dan Sarawak diambil alih oleh Petronas dan Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam wilayah Malaya dan bukan berdiri sendiri sebagai Wilayah Sabah dan Sarawak.
BERITA BERKAITAN: –

Leave a comment