OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Wira Warisan menyangkal kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya menyelesaikan 17 daripada 21 perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Exco Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Norazmi Alimat berkata, Maximus tidak perlu memutar belitkan fakta demi ‘survival’ politik peribadi.
“Semua tahu bahawa Jawatankuasa Khas Kabinet (JKKK) MA63 yang telah ditubuhkan semasa era kerajaan PH dan Warisan telah berjaya menuntut 17 daripada 21 perkara yang diperjuangkan.
“Saya ingin menarik perhatian beliau (Maximus) dalam jawapan yang telah diberikan secara rasmi oleh timbalan beliau sendiri iaitu Datuk Hanifah Taib dalam soalan lisan bertarikh 28 Julai 2020 yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tuaran berkenaan perkara ini.

“Perenggan dua jawapan rasmi tersebut dengan jelas menyatakan berhubung dengan status semasa perlaksanaan 17 daripada 21 perkara yang telah dibentang dalam JKKK MA63, secara umumnya, agensi-agensi yang bertanggungjawab dijangka memerlukan tempoh sekitar satu hingga dua tahun untuk melaksanakan keputusan-keputusan tersebut.
“Amat jelas dalam teks jawapan Timbalan Menteri Hal Ehwal Sabah & Sarawak tersebut bahawa sememangnya keputusan 17 daripada 21 perkara itu sudah dicapai dan hanya menunggu tindakan perlaksanaan dari agensi yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norazmi berkata, Maximus seharusnya sedar bahawa ianya memang sudah diputuskan dan hanya menunggu perlaksanaannya. Sepatutnya beliau tidak mengelirukan rakyat dengan menyatakan kejayaan 17 perkara tersebut semasa era kerajaan PH dan Warisan adalah tidak benar dan hanyalah sebagai satu ‘komitmen’.
Kenyataan Maximus ini seolah-olah memperkecil dan menidakkan usaha yang telah dibuat oleh kerajaan PH terutamanya Warisan yang telah membuka jalan mudah untuk mereka Perikatan Nasional (PN)/Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam perkara ini.
“Tidak perlulah kata 17 perkara yang sudah diputuskan itu sebagai sesuatu yang tidak benar, sepatutnya beliau bersyukur kerana ianya sudah diputuskan berdasarkan jawapan rasmi timbalan beliau di Parlimen dan beliau sebagai Menteri yang bertanggungjawab seharusnya tidak mempolitikkannya malah beliau patut mencari jalan segera untuk melihat perlaksanaannya.
“Seolah-olah beliau mahu memadam fakta dan sejarah bahawa sememangnya kerajaan PH dan Warisan yang telah berjaya menuntut 17 perkara tersebut. Kini beliau mahu dianggap ‘hero’ dengan menyatakan sebaliknya,” ujarnya.
Menurutnya, rakyat Sabah tidak lupa janji beliau dan kerajaan PN/GRS yang kononnya mahu selesaikan isu MA63 ini dalam masa enam bulan selepas mereka memerintah.
Namun hari ini setelah saja mereka selesai bermesyuarat beliau berani menyatakan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.
“Saya berpesan kepada beliau, janganlah cuba menangguk di air yang keruh, umpama lembu punya susu kerbau yang mendapat nama.
“Seharusnya beliau melakukan dan laksanakan sahaja apa yang perlu dalam kesinambungan usaha murni yang telah ditinggalkan oleh kerajaan PH dan Warisan ini.”
“Jika beliau mahu jadi hero orang Sabah, janganlah putar belitkan fakta, tapi buatlah kerja sebagai orang Sabah yang berjawatan Menteri Hal Ehwal Sabah & Sarawak.
“Carilah jalan dan langkah segera untuk memastikan 17 perkara yang sudah diputuskan itu dilaksanakan secepatnya dan pastikan juga empat perkara yang masih belum diputuskan dimuktamadkan.
“Saya percaya jika beliau dapat lakukan ini orang Sabah akan anggap dan ingat jasa beliau, bukannya hanya mahu menumpang kredit atas usaha yang telah kita lakukan dahulu,” jelasnya.

Leave a comment