
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mempertikaikan kejayaan Parti Warisan Sabah (Warisan) menuntut 17 dari 21 perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, Maximus sepatutnya memperjuangkan hak Sabah dalam mendapatkan sepenuhnya kuasa bagi mengawal dan menguruskan agihan minyak di negeri ini, sama seperti bagaimana Sarawak berjaya mendapatkan semula hak pengurusan dalam agihan gas.
Namun, amat menyedihkan bila menteri yang berasal dari Sabah bercakap bagi pihak persekutuan dan bukannya berusaha menuntut hak-hak Sabah dalam mendapatkan kuasa untuk mengawal sepenuhnya agihan minyak yang diperoleh dari Sabah.
Kenapa mesti Maximus sibuk mempertikaikan perjuangan Warisan sedangkan beliau seharusnya bersatu hati dengan pemimpin Sabah yang lain untuk mendapatkan semula semua hak Sabah yang terkandung dalam MA63.
“Daripada dia sibuk memutar belitkan fakta untuk mengelirukan rakyat Sabah, saya rasa lebih baik beliau terus perjuangkan hak Sabah dalam mendapatkan hak pengurusan agihan minyak di negeri ini.

“Secara jelas tuntutan 17 daripada 21 perkara dalam MA63 yang diperjuangkan oleh Warisan telah berjaya dicapai cuma dari segi pelaksanaan ia tertangguh disebabkan ketidakstabilan politik yang berlaku berikutan Langkah Sheraton.
“Kenapa mesti Maximus mempersoalkan kelulusan yang telah diberikan? Lebih baik dia fokus mendapatkan lebih banyak hak-hak Sabah,” katanya. Azis adalah ketua Wira Warisan.
Untuk isu pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan yang dikembalikan kepada Sabah pula, ini antara perkara pertama yang dipersetujui semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Adalah tidak logik untuk permit menyelam di Sipadan yang mampu menjana hasil jutaan ringgit diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedangkan negeri Sabah tidak memperoleh hasil daripadanya.
Pada 2019, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Hanipa Maidin ketika persidangan Dewan Negara menyatakan 17 daripada 21 perkara telah diselesaikan dan salah satunya adalah pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan.
Tiada sebarang pertikaian dibangkitkan di Dewan Negara ketika itu malah, semasa persidangan Parlimen pada 28 Julai 2020, Timbalan Menteri di JPM (HESS) Hanifah Hajar memaklumkan ‘Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri sedang memantau perkembangan pelaksanaan 17 perkara yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 dari masa ke semasa.
Kenyataan itu secara jelas menunjukkan 17 perkara itu telah selesai dan hanya menunggu pelaksanaan daripada kerajaan sahaja.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sebahagian daripada menteri Kabinet PH dan sepatutnya beliau lebih tahu bahawa keputusan meluluskan 17 perkara itu telah dibuat ini termasuk mengembalikan hak pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Sabah.
Timbul persoalan kenapa beliau harus bersetuju sekali lagi untuk mengembalikan hak pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Sabah biarpun perkara itu sebenarnya sudah diluluskan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu.
BERITA BERKAITAN: –

Leave a comment