
OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Chan Foong Hin mencabar Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk menyelesaikan empat perkara berbaki yang belum diselesaikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, Dr Maximus perlu menyelesaikan kesemua empat perkara itu memandangkan Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesra Perikatan Nasional (PN).
Berhentilah mempertikaikan perjuangan yang sudah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini.
“Daripada membuang masa menyemak semula 17 daripada 21 perkara yang sudah diselesaikan, lebih baik beliau (Maximus) mempercepatkan pelaksanaannya dan terus memperjuangkan empat lagi tuntutan yang belum diselesaikan.
“Jangan pula sengaja melewatkan pelaksanaan 17 perkara yang sudah diluluskan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu ini turut mempersoalkan keikhlasan Dr Maximus untuk memperjuang hak Sabah dalam mendapatkan hak pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan.
Katanya, semasa pemerintahan PH dan Warisan berjaya menyelesaikan isu tuntutan pentadbiran itu Dr Maximus hanya berdiam diri. Tapi kini, beliau mula mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.
Kenyataan Dr Maximus semalam menimbulkan pelbagai persoalan. Kenapa penyerahan hak pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Sabah perlu mendapat kelulusan Perdana Menteri.
“Ketika Maximus mengumumkan perkara itu apa yang bermain dalam fikirannya. Bukankah kelulusan telah diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika PH memerintah. Adakah Maximus cuba menggambarkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak setuju mengembalikan Pulai Sipadan dan Ligitan ketika beliau dalam Kabinet PH. Bukankah beliau juga berada dalam mesyuarat tersebut.
“Saya boleh berbangga menyatakan bahawa saya juga terlibat dalam perjuangkan hak Sabah. Ketika PH memutuskan untuk mengembalikan hak pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Sabah, saya juga ahli Jawatankuasa Teknikal MA63.
“Saya turut menghadiri mesyuarat dan melihat secara terperinci isu-isu yang dituntut bersama mendiang Datuk Liew Vui Keong, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Peguam Negara Tommy Thomas dan bekas Peguam Besar Negeri Sabah Zaleha Rose Pandin yang kini Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Foong Hin berkata, isu pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan disifatkan sebagai isu kecil dan perkara pertama yang dipersetujui dan diselesaikan dalam mesyuarat awal Jawatankuasa Khas Kabinet MA63.
Tidak masuk akal untuk memberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hak mengeluarkan permit selaman di Sipadan yang mampu menjana jutaan ringgit di bawah).
Pada hujung 2019, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Hanipa Maidin ketika persidangan Dewan Negara menyatakan 17 daripada 21 perkara telah diselesaikan dan salah satunya adalah pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan.
Tiada sebarang pertikaian dibangkitkan di Dewan Negara ketika itu dan selepas kejatuhan kerajaan PH, Foong Hin turut membangkitkan persoalan mengenai MA63 pada 28 Julai 2020.
Ketika itu, Timbalan Menteri di JPM (HESS) Hanifah Hajar memaklumkan ‘Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri sedang memantau perkembangan pelaksanaan 17 perkara yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 dari masa ke semasa.
Perkataan ‘telah diputuskan’ itu secara jelas menunjukkan 17 perkara itu telah selesai dan hanya menunggu pelaksanaan daripada kerajaan sahaja.
Malah, pada 23 November tahun lepas, Dr Maximus turut mengakui semasa ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, beliau menyatakan 17 daripada 21 perkara yang dituntut semasa kerajaan PH telah dicapai.
Adakah pentadbiran Sipadan dan Ligitan bukan sebahagian daripada 17 perkara dituntut? Kenapa perlu Muhyiddin memberi kelulusan untuk kali kedua sedangkan kelulusan telah diberikan sebelum ini.
Kenapa kerajaan PN perlu memperlekeh usaha PH dan Warisan. Dr Maximus sebagai orang Sabah juga cuba mengelirukan rakyat Sabah dan ingin mendapat nama atas usaha PH dan Warisan.
Sebenarnya PN tidak layak menerima kredit atas usaha dan perjuangan yang dilakukan oleh PH dan Warisan.
“Setahu saya Muhyiddin juga sebahagian daripada Kabinet PH jadi, dia seharusnya sedar bahawa keputusan telah dibuat sebelum ini.
“Untuk Dr Maximus berkata ianya hanya komitmen semata-mata adalah mengelirukan. Adakah ini cubaan PN untuk mengugut rakyat Sabah dengan 17 perkara yang telah dipersetujui dan pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan adalah salah satu daripadanya.

Leave a comment