
OLEH SABAHTODAY
TAWAU: Suspek dalam video tular yang memijak serta mengugut ingin membunuh dua kanak-kanak berjaya ditangkap di sebuah rumah di Kampung Andung, Jalan Kabongan, Semporna, pada 7 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter AK Umbuas berkata, suspek warga Indonesia berusia 20an itu ditangkap bersama sebilah parang berhulu besi sepanjang 31cm oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Tawau dan Semporna.

Tangkapan berkenaan dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang Polis Bantuan di Ladang Giram Divisyen Ulu Balung, Tawau pada Rabu setelah terlihat video suspek yang tular di media sosial sehari sebelum itu.
“Pengadu melihat video berdurasi 16 dan 26 saat memaparkan seorang lelaki yang telah memijak dua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang dipercayai anak kandungnya sambil memegang sebilah pisau.
“Setelah meneliti kandungan video tersebut, pengadu mendapati kejadian tersebut berlaku di kawasan perumahan pekerja Ulu Balung, Tawau,” katanya dalam sidang media dekat sini petang semalam.
Berikutan itu, pasukan pegawai penyiasat kemudian menjalankan siasatan di lokasi kejadian namun, suspek telah bertindak melarikan diri.
Peter berkata, motif kejadian dipercayai disebabkan krisis dalam rumah tangga dan suspek mengugut isterinya supaya pulang ke rumah dengan cara mendera dua anak mereka.

Suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kedua-dua anaknya dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menerusi video tular di media sosial sejak Rabu, suspek dilihat memijak perut, kepala dan leher dua anaknya itu berkali-kali sambil mengugut untuk membunuh kanak-kanak yang dipercayai berusia antara tiga hingga lima tahun berkenaan.

Leave a comment