
OLEH ZARA BEDA
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan terus memainkan peranan memantau langkah kerajaan untuk memastikan sektor pendidikan negeri terus dibangunkan demi masa depan rakyat Sabah.
Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua Jr berkata, Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah gagal melaksanakan tanggungjawab itu kerana terlalu selesa memerintah negeri selama 24 tahun menyebabkan sistem pendidikan negeri tidak terurus.
Tegas beliau, kerajaan sekarang perlu sentiasa peka dalam soal pendidikan dan membantu setiap pelajar Sabah terutama golongan yang cemerlang dalam akademik dari kawasan luar bandar.
“Ramai murid-murid sekolah dari kawasan luar bandar di Sabah menunjukkan prestasi yang cemerlang daripada segi akademik, sukan dan kurikulum tambahan jadi kami perlu pastikan sekolah-sekolah ini terus mengilap bakat pelajar-pelajar ini kerana suatu hari nanti, mereka akan memimpin negara dari pelbagai cara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemerintahan BN yang terlalu lama menyebabkan pemimpinnya mempunyai sikap yang menyebabkan mengapa mereka tidak begitu mendesak atau bersemangat untuk memastikan bahawa murid-murid sekolah menikmati kemudahan setaraf dengan sekolah yang ada di Kuala Lumpur.
“Bayangkan seorang pelajar yang berasal daripada keluarga miskin di mana ibu bapanya tidak dapat menyediakan bahan pelajaran atau yang lebih teruk lagi, keluarga yang mengalami masalah ibu bapanya meminum minuman keras setiap hari secara terbuka di rumah mereka.
“Kita tidak boleh menyimpulkan bahawa pelajar ini ditakdirkan untuk mewarisi keadaan ibu bapanya sekarang,” tegasnya.
Menurut Loretto, adalah menjadi peranan kerajaan untuk menyediakan jalan keluar kepada pelajar-pelajar berkenaan melalui sistem pendidikan.
“Inilah sebabnya mengapa WARISAN mahu semua sekolah di Negeri ini menjadi tempat yang menarik kepada murid-murid sekolah kita agar mereka berminat untuk datang, belajar dan seterusnya lulus ujian agar mempunyai prospek yang lebih baik dalam hidup berbanding sekarang.
“WARISAN akan terus meletakkan pendidikan sebagai keutamaannya dan di sebalik semua ejekan yang dibuat atas keputusan parti ini untuk menubuhkan Kementerian Pendidikan dan Inovasi Negeri, kementerian ini nyata berjaya mendapatkan peruntukan yang penting untuk sekolah-sekolah kita, oleh yang demikian, kita akan mewujudkan semula kementerian ini jika rakyat Sabah bersetuju untuk kembalikan amanah kepada kami,” tambah Loretto.
BERITA BERKAITAN: –

Leave a comment