
OLEH SYAFIA AMIN
SANDAKAN: Arahan menghentikan semua aktiviti perniagaan bagi gerai kecil-kecilan dengan serta-merta mengakibatkan peniaga berada dalam keadaan tersepit.
Ketika Ramadan sebeginilah peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan dapat menjana lebihan pendapatan.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sekong, Alias Sani berkata, larangan aktiviti berniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini menyebabkan peniaga kecil-kecilan mengalami kerugian dan hilang sumber pendapatan.
“Ramai dalam kalangan mereka telah menjual barang kemas, menggunakan wang simpanan dan tidak kurang yang meminjam dengan Ah long untuk membeli barangan untuk berniaga, membayar sewa dan membeli kanopi.
“Walaupun larangan ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 namun, kerajaan perlu memikirkan nasib peniaga yang bergantung hidup dengan berjualan.
“Rasanya masih ada ruang yang boleh diperhalusi memandangkan larangan tersebut dibuat pada saat akhir.

“Larangan operasi bazaar Ramadan sudah cukup memberi kesan. Ketika peniaga baharu hendak mula bangkit dan meneruskan kehidupan dengan berniaga di ruang terbuka, gerai pula diarahkan tutup. Ini bukan lagi soal wang ringgit, ini soal kesan emosi dialami oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan itu, beliau mewakili peniaga merayu agar kerajaan melalui Majlis Perbandaran Sandakan agar mempertimbangkan semula arahan ini.
Menurutnya, jika perlu kerajaan boleh mengeluarkan lesen berniaga sementara kepada semua peniaga dengan mengenakan beberapa syarat dan peraturan yang ketat agar formula ‘menang-menang’ dapat dicapai.
“Saya juga menyokong penuh sekiranya tindakan membatalkan kebenaran dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.
“Saya juga berharap agar kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor segera melihat perkara ini demi kebajikan rakyat khususnya di dalam DUN Sekong. Jika dilihat hampir 80 peratus penduduk di sini dari kalangan B40 yang terjejas teruk akibat siri PKP sebelum ini.
“Tindakan kerajaan berterusan menyekat usaha mereka untuk berniaga akan menyebabkan rakyat semakin tertekan dan sangat terbeban,” jelasnya.

Leave a comment