
OLEH SYAFIA AMIN
KUNAK: Kenapa wujud ‘double standard’ dalam membenarkan operasi bufet Ramadan di hotel dengan operasi perniagaan gerai kecil-kecilan?
Adakah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya memandang golongan berpendapatan tinggi sebaliknya mengabaikan golongan bawahan yang terjejas sumber pendapatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif dalam Facebook pagenya berkata, rakyat kini menderita dan merayu untuk kerajaan membenarkan operas perniagaan gerai berskala kecil.
Semasa rakyat masih bergelut meneruskan hidup, peniaga kecil di Kunak sungguh kecewa dengan keputusan kerajaan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memberi arahan mendadak untuk peniaga menghentikan operasi.
Ketika ini daerah Kunak tidak tersenarai dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun, kenapa arahan penutupan dikeluarkan.
“Kebanyakan peniaga sudah membuat persiapan awal dan mengeluarkan modal yang banyak untuk berniaga. Ada yang sanggup ikat perut untuk mengumpul modal berniaga, ada yang sanggup mengeluarkan simpanan dan ada yang bergadai untuk berniaga sepanjang bulan Ramadan ini.

“Bagaimana mereka hendak mendapat semula pulangan wang jika gerai kecil-kecilan tidak dibenarkan beroperasi. Peniaga kini berasa buntu kerana notis penutupan dikeluarkan secara tiba-tiba.
“Bukan hanya pandemik Covid-19 yang boleh mengorbankan nyawa manusia sebaliknya, tekanan hidup, masalah kewangan dan gangguan emosi juga mampu menjejaskan kesihatan mental rakyat. Jangan gunakan alasan penularan pandemik Covid-19 sebagai perisai menganiaya rakyat.
“Jangan biarkan rakyat merana hanya untuk membersihkan data. Carilah kaedah terbaik untuk mencapai situasi menang-menang,” katanya.
Untuk itu, beliau ingin menyarankan agar kerajaan negeri segera menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membolehkan gerai kecil-kecilan beroperasi dalam masa terdekat.
Semalam Kunak hanya merekodkan lima kes positif baharu, dengan kumulatif 880 kes positif dan daerah ini berada dalam zon jingga.

Leave a comment