
OLEH ZARA DEBA
PENAMPANG: DAP menggesa kerajaan GRS untuk meneruskan agenda reformasi wanita yang dimulakan oleh kerajaan Warisan Plus.
Jannie Lasimbang, ADUN Kapayan dan Ketua Wanita DAP berkata “kerajaan GRS perlu mengadakan sidang DUN secepat mungkin supaya dasar-dasar penting termasuk agenda reformasi wanita untuk Sabah dapat ditetapkan, seperti yang dilakukan setiap tahun semasa pembukaan DUN”.
Antara tiga agenda penting pembaharuan bagi wanita yang telah dimulakan oleh Jannie secara peribadi semasa dalam kerajaan ialah menamatkan perkahwinan bawah 18 tahun, advokasi dan pemerkasaan untuk mencapai kuota 30% wanita di semua peringkat, dan peningkatan sokongan kebajikan untuk wanita.
Jannie berkata, wanita DAP Sabah juga terlibat secara langsung dalam usaha ini, dan terus mendapatkan sokongan dengan kementerian berkaitan, agensi kerajaan dan NGO untuk menggerakkan pembaharuan ini ke hadapan.
Menamatkan Perkahwinan Bawah 18 tahun
Kerajaan Warisan Plus telah menerima-pakai dasar untuk menetapkan 18 tahun sebagai umur minima perkahwinan pada Oktober 2018. Rancangan 10 Tahun untuk Menamatkan Perkahwinan Bawah 18 Tahun juga digubal yang melibatkan pindaan undang-undang kepada Enakmen Mahkamah Anak Negeri dan Syariah, dan beberapa aktiviti yang diselaraskan oleh pelbagai pihak berkenaan.

Bagi Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992, satu Garis Panduan permohonan perkahwinan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri telah selesai dan hanya perlu kelulusan Kabinet. Bagi Mahkamah Syariah, Garis Panduan tersebut sedang dilaksanakan.
Ceramah kesedaran di sekolah dan untuk pekerja muda di pusat bandar, pengeluaran bahan audio-visual untuk media, dan lain aktiviti awam sedang dianjurkan dengan kerjasama agensi kerajaan, NGO dan sektor swasta, selepas penyelidikan yang disasarkan siap pada tahun 2020.
Advokasi dan Pemerkasaan untuk mencapai kuota 30% wanita di semua peringkat
Pada tahun 2019, Kerajaan Sabah menetapkan kuota 20% wanita sebagai pembuat keputusan. Sejak itu, terdapat banyak usaha berterusan oleh wanita DAP dengan kerjasama NGO untuk menetapkan kuota itu kepada 30% selaras dengan piawaian kebangsaan dan antarabangsa.
Antara usaha tersebut ialah mesyuarat advokasi dengan pelbagai kementerian, mengadakan latihan kepimpinan terutama menyasarkan wanita luar bandar dan orang asal untuk membangunkan potensi mereka menyandang jawatan sebagai pemimpin masyarakat, selain menyokong lebih ramai wanita dalam arena politik.

Walaupun kerajaan Sabah mengakui kepentingan mengguna pakai kuota 30% untuk wanita, ianya belum diterima pakai secara rasmi sebagai dasar.
Meningkatan Sokongan Kebajikan untuk wanita
Terdapat juga panggilan berterusan kerajaan masa kini untuk menbentuk dasar yang lebih baik bagi melindungi wanita dengan meningkatkan bantuan guaman untuk mangsa keganasan rumah tangga dan gangguan seksual, serta pelaksanaan Pusat Krisis Sehenti di semua hospital.
Peningkatan bantuan kebajikan yang diperlukan adalah sokongan kepada usahawan wanita dan ibu tunggal melalui latihan dan bantuan tunai serta penyediaan maklumat mengenai pelbagai bantuan oleh pihak kerajaan dan swasta.
DAP Sabah dan ADUN Warisan Plus sedang giat aktif dalam menyediakan dan menyeru peningkatan sokongan kebajikan terutamanya semasa pandemik COVID-19 melalui bantuan makanan, membantu petugas barisan hadapan, dan pemacu pendaftaran awam untuk vaksin.

Leave a comment