
OLEH SYAFIA AMIN
PUTATAN: Tinggal dalam sebuah keluarga yang besar dengan 10 anggota keluarga menyebabkan Basir Fatta,21, kehilangan kata-kata apabila tiada penempatan sementara dibuka untuk menempatkan semua mangsa kebakaran di Kampung Serigai.
Beliau berkata, kehilangan rumah ketika bulan Ramadan adalah satu ujian besar yang terpaksa diharungi oleh semua penduduk di 17 buah rumah yang musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, biarpun ada antara mereka bukan warga tempatan namun, bencana yang menimpa ini bukan sesuatu yang diminta apatah lagi ketika mereka sedang menjalani ibadah puasa.
Setakat semalam, mereka hanya menumpang di pondok-pondok saudara-mara dalam keadaan bersesak kerana tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung.
Basir berkata, ketika kejadian beliau hendak melelapkan mata selepas selesai menidurkan anak.
Beliau agak terkejut bila terdengar bunyi riuh rendah di luar rumah. Apabila dia meninjau keadaan di luar, api sudah mula marak di hadapan mereka dan mereka terus bertindak mengangkat anak-anak yang sedang tidur ke kawasan lapang.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan, semua barangan elektrik habis musnah terbakar. Kami melarikan diri sehelai sepinggang, tiada barangan yang dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui.
Basir meletak harapan ramai pihak yang akan membantu menghulurkan sumbangan kepada mereka agar mereka dapat membina balik kehidupan seperti sedia kala.

Leave a comment