
OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
SANDAKAN: Bersimpati dengan nasib yang menimpa 79 keluarga yang terjejas dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Liew bersama wakil rakyat DAP yang lain tampil menghulurkan bantuan.
Frankie selaku Pengerusi DAP Sabah turun padang bersama-sama Ahi Parlimen Sandakan, Vivien Wong Shir Yee dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun menghantar sumbangan barangan keperluan harian kepada mangsa-mangsa kebakaran tersebut.
Dalam kebakaran yang berlaku pada Rabu, 350 orang hilang tempat tinggal apabila 30 buah rumah atas air musnah terbakar.

Beliau berkata, bantuan itu adalah hasil sumbangan orang ramai dan dikumpulkan oleh ahli-ahli DAP.
Ketika menyampaikan sumbangan itu, Frankie turut berjumpa dengan ADUN Sekong, Alias Sani di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi.
Frankie memuji usaha yang dilakukan Alias selaku ADUN kawasan berkenaan yang sentiasa berada di situ bagi memastikan segala masalah dan keperluan mangsa terjejas dapat diberi perhatian.

“Ketika rakyat sedang berdepan masa yang sukar, bantuan dan sokongan daripada pemimpin amat diperlukan. Tindakan Alias untuk sentiasa berada di sini akan membolehkan beliau dapat segera membantu sesiapa sahaja yang memerlukannya di situ.
“Inilah perjuangan yang harus kita kekalkan selaku wakil rakyat serta sentiasa menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat walaupun kita merupakan pihak pembangkang,” katanya.
Beliau juga berharap agar mangsa-mangsa yang terlibat supaya sentiasa bersabar dan tabah menghadapi keadaan ini.

Leave a comment