
OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mendakwanya memberi maklumat palsu kepada mahkamah mengenai perintah menjalani kuarantin.
Beliau berkata, maklumat yang dikemukakan kepada mahkamah menerusi peguamnya, Datuk D Senthinathan adalah sahih.
“Untuk makluman, saya telah menjalani kuarantin bermula 16 April dan mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman pada 20 April setelah disahkan negatif Covid-19.
“Syukur pada tuhan, dalam ujian yang kedua yang dilakukan di pusat kuarantin Keningau dan status kesihatan saya juga didapati memuaskan.
“Ini sekaligus menjadi bahan bukti bahawa penyebaran maklumat palsu yang ditularkan di platform media sosial adalah semata-mata berniat jahat bertujuan menjatuhkan reputasi dan nama baik saya,” katanya.
Katanya, diharap dengan penjelasan itu akan menafikan segala fitnah dan menjawab segala persoalan yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini tular di laman media sosial mengenai video dan gambarnya menghadiri program pemimpin masyarakat yang dihadiri orang ramai.
Beliau turut didakwa tidak hadir ke perbicaraan setelah mengemukakan dokumen palsu pada 19 April.
Bagi menunda perbicaan itu, Peter menerusi peguamnya memaklumkan mahkamah bahawa beliau perlu menjalani perintah kuarantin selama 10 hari bermula 16 hingga 26 April.

Leave a comment