KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kawasan Di Sabah, iaitu Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud; pasar dan Perumahan Sim-Sim serta Kampung Sungai Obar Batu 7, Sandakan, ditamatkan esok.
Bagi Kampung Melangkap Tomis, sebanyak 11 kes positif direkodkan daripada 167 yang disaring… terdapat penurunan kes, kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata:
“Di pasar dan Perumahan Sim Sim sebanyak 108 kes positif COVID-19 direkodkan, manakala di Kampung Sungai Obar Batu 7, sebanyak 167 kes direkodkan…namun kes telah menurun dan semua kluster adalah terkawal manakala kes positif, kontak rapat diasingkan dan dipantau sehingga hari ke-14.”
Ismail Sabri juga berkata PKPD akan dikuatkuasakan di kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit, Sarawak bermula esok hingga 26 Mei
Beliau berkata pelaksanaan PKPD itu berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu hasil saringan dilakukan ke atas pekerja empangan itu.
“Sehingga kini, KKM merekodkan 243 kes positif COVID-19 dan jumlah ini naik mendadak.

“Melihat situasi ini, KKM mengesahkan masih terdapat risiko kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan pembinaan Empangan Baleh kerana masih ramai pekerja yang belum disaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan KKM melakukan pengesanan awal kes serta mengelak penularan ke komuniti berdekatan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan bersetuju meluaskan kawasan PKPD di enam rumah panjang dan sebuah sekolah di Sungai Duan, Bahagian Mukah, Sarawak bermula esok hingga 6 Mei.
Beliau berkata rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Panjang Belayong; Rumah Panjang Tepi; Rumah Panjang Minggu; Rumah Panjang Rimong; Rumah Panjang Undun; Rumah Panjang Lindan; dan Sekolah Kebangsaan Sungai Duan.
“Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di sembilan Rumah Panjang yang dijadualkan tamat pada 6 Mei, namun KKM melaporkan terdapat 17 kes positif baharu direkodkan di rumah panjang lain terletak berhampiran dengan kawasan PKPD Sungai Duan dalam tempoh seminggu ini,” katanya.

Leave a comment