
TAWAU: Tujuh lelaki yang direman dua hari bermula semalam berhubung demonstrasi berdekatan sekatan jalan raya di Jalan Muhibbah Raya di sini pada Sabtu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata semua tahanan berusia 26 hingga 31 tahun itu dibebaskan dengan syarat pada 3 petang tadi dan pihak polis masih menjalankan siasatan kes terhadap tersebut.

Beliau berkata polis masih mengekalkan siasatan terhadap tujuh suspek itu di bawah tiga kesalahan iaitu mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 25 Ordinan Darurat 2021.
“Pada penyiasatan awal kita sudah rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya… pada ketika ini siasatan diteruskan dengan merujuk kepada pihak atasan dan kita menunggu keputusan sama ada diteruskan atau diperkemaskan,” katanya ketika ditemui pemberita Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Peter mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berkaitan seorang tahanan berkaitan demonstrasi itu dipukul ketika dalam tahanan polis.
“Laporan polis dibuat semalam oleh anggota keluarga tahanan berkenaan dan kertas siasatan dibuka untuk menentukan sama ada dakwaan itu betul atau tidak,” katanya.
Pada Sabtu lepas, tujuh lelaki ditahan berikutan demonstrasi di luar Kampung Muhibbah Raya kerana mahu menyuarakan masalah dihadapi penduduk yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung itu yang merupakan antara 14 lokaliti PKPD di Tawau.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali menakan sekeras-kerasnya dakwaan anggotanya memukul seorang tahanan itu, bagaimanapun beliau telah mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan tersebut.
BERITA BERKAITAN: –

Leave a comment