OLEH ZARA DEBA
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian kepada kelewatan pelaksanaan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kipouvo yang pelan pembangunan dan pelan bangunan sudah diluluskan semasa zaman Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan pada Februari 2020 menyebabkan proses tender tergendala dan ia mengakibatkan pembinaan sekolah ini belum bermula.

“Saya akan terus mendesak dan mengingatkan agar proses pembinaan sekolah ini dapat dipercepatkan agar lebih ramai pelajar dapat bersekolah, terutama dari kawasan Moyog yang tidak perlu lagi mencari sekolah yang jauh dari tempat tinggal mereka.
“Pembinaan sekolah ini telah lama ditunggu-tunggu kerana ia pastinya dapat mengurangkan masalah seperti kekurangan bilik darjah untuk murid-murid dari komuniti upper Moyog,” kata Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam satu kenyataan, hari ini.
Dengan pembinaan sekolah ini, Darell melihat bebanan kos pengangkutan terpaksa ditanggung ibu bapa bagi menghantar anak-anak ke sekolah yang terletak agak jauh dari rumah mereka.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog ini berkata, pembinaan sekolah ini sepatutnya bermula pada 9 April ini dan dijangka siap pada 9 April 2024 dan sekolah ini akan dilengkapi dengan 24 bilik darjah serta kemudahan lain yang berkaitan.
Namun, sehingga kini pembinaan masih belum bermula disebabkan pembukaan tender bagi projek ini baru dikeluarkan.

“SMK Kipouvo ini diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada tahun 2012 tetapi pembinaannya ketika itu terhenti kerana beberapa masalah kelulusan rancangan pelan pembangunan.
“Ketika itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) dikritik hebat, terutama dari penduduk Moyog dan Penampang yang merasakan proses pembinaan sekolah itu terlalu lama untuk dilaksanakan.
“Setelah PH memenangi pilihan raya umum pada Mei 2018, mesyuarat penyelarasan antara pejabat Parlimen Penampang, arkitek dan pelbagai agensi kerajaan diadakan pada bulan November dan Disember 2018 untuk mempercepat proses pembinaan dan proses kelulusan.

“Kelulusan pembinaan sekolah itu berjaya dilakukan pada pertengahan tahun 2019. Malangnya, kemelut politik mengakibatkan prosesnya terganggu walaupun Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu Teo Nie Ching telah mengumumkan bahawa pembinaan sekolah itu akan dilakukan setelah proses tender selesai,” jelasnya.
Oleh itu, beliau sekali lagi menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui KPM agar mempercepatkan proses pembinaan sekolah ini.



Leave a comment