OLEH SYAFIA AMIN
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengecam tindakan kerajaan GRS yang mengabaikan kawasan pembangkang yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, selaku kerajaan yang memerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepatutnya lebih berhati perut dan ambil peduli tentang masalah rakyat.

“Saya menerima aduan bahawa kawasan pembangkang tidak diberikan bantuan makanan. Keadaan sebegini tidak seharusnya berlaku kerana peruntukan kerajaan perlu diagihkan sama rata kepada rakyat yang terjejas.

“Adakah mereka tidak peduli dengan rakyat? Berhentilah bermain politik dan laksanakan apa yang sepatutnya sebagai kerajaan yang memerintah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie turut menggesa kerajaan negeri untuk bertindak pantas bagi memastikan penduduk di kawasan PKPD menerima bantuan makanan yang mencukupi.

Katanya, pihak berkuasa perlu memastikan bantuan makanan kepada penduduk di kawasan PKPD ini mencukupi. Rakyat sudah berdepan dengan PKP sejak setahun lalu dan mereka tidak seharusnya terus dibebankan dengan ketiadaan bantuan.

“Kerajaan GRS kerap mengumumkan tentang bantuan bakul makanan dan jutaan ringgit telah diperuntukkan bagi bantuan itu namun, rakyat di peringkat akar umbi masih mengadu tidak menerima sebarang bantuan.

“Biarpun pihak berkuasa melanjutkan operasi restoran untuk penghantaran namun, selagi mereka tidak dibenarkan untuk keluar dari kawasan itu, mereka tidak mempunyai akses untuk ke kedai bagi mendapatkan makanan, ia sama seperti membiarkan mereka kelaparan,” katanya.

Beliau difahamkan pelaksanaan PKPD tidak dapat dielakkan namun, mereka di kawasan terjejas perlu dibekalkan dengan makanan yang mencukupi. Kerajaan negeri perlu lebih bersimpati kepada penduduk terjejas terutama ketika bulan Ramadan ini.

Perhimpunan aman di Kampung Muhibbah Raya pada Ahad memberi petanda jelas bahawa rakyat sedang marah dan kecewa dengan cara kerajaan menguatkuasakan PKPD. Mereka bukan hanya tidak menerima bantuan makanan yang mencukupi tapi, dalam masa sama mereka tidak dibenarkan keluar untuk membeli makanan.

Leave a comment

I'm Emily

Welcome to Nook, my cozy corner of the internet dedicated to all things homemade and delightful. Here, I invite you to join me on a journey of creativity, craftsmanship, and all things handmade with a touch of love. Let's get crafty!

Let's connect

Design a site like this with WordPress.com
Get started