
OLEH SYAFIA AMIN
TAWAU: Pengurusan yang tidak teratur dilihat menjadi punca yang membangkitkan kemarahan penduduk di Kampung Baru Pasir Putih semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berkata, biarpun kejadian itu tidak berlaku dalam kawasannya namun, insiden itu jelas membuktikan kecelaruan dalam pengurusan kerajaan.
Beliau berkata, rakyat tidak akan marah dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya kerajaan memberikan subsidi tertentu seperti subsidi elektrik dan air.

Biarpun bantuan makanan diberikan di kawasan PKPD namun, mereka masih perlu membayar utiliti seperti elektrik dan air serta bayaran ansuran kereta. Jika mereka tidak dibenarkan bekerja selama sebulan, bagaimana mereka mahu membayar komitmen bulanan.
“Sekarang moratarium juga tidak dilanjutkan jadi sukar untuk mereka membayar ansuran bulanan rumah dan kereta.
“Cadangan YB Sarifuddin Hata memberi bantuan kewangan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah amat baik kerana sekurang-kurangnya ia dapat meringankan bebanan keluarga yang terjejas di kawasan PKPD.
“Saya sendiri menerima banyak permintaan menerusi talian careline yang mengadu mengenai keputusan sumber kewangan. Tidak mempunyai wang untuk membayar yuran asrama dan yuran persekolahan.
“Tapi dengan kekangan kewangan yang ada, pejabat DUN saya tidak mampu untuk membantu semua orang.
“Peruntukan ADUN juga belum diterima jadi kami terpaksa mengeluarkan duit dari poket sendiri untuk membantu rakyat yang terjejas. Peruntukan RM100,000 untuk setiap ADUN pembangkang belum diberikan sehingga sekarang jadi sukar untuk kami membantu lebih ramai penduduk yang terjejas ketika PKPD ini,” katanya..

Mengenai careline ini, Rina berkata, talian tersebut banyak membantunya mendekati dan membantu rakyat diperingkat akar umbi.
Menerusi talian ini, ada rakyat yang kehabisan susu dan pampers kerana keputusan kewangan ketika PKPD ini.
PKPD di Kampung Baru Pasir Putih yang mula dilaksana pada 1 April lalu sepatutnya dilanjutkan sehingga 12 Mei.
Namun, lanjutan itu tidak diteruskan dan ditamatkan mengikut jadual hari ini.
Penamatan itu dilihat hasil pertimbangan pihak kerajaan setelah kira-kira 350 penduduk Kampung Baru Pasir Putih membuat perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan agar lanjutan PKPD di lokaliti berkenaan ditamatkan.
Ketika demonstrasi pada Selasa, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, permintaan penduduk kampung akan dibawa ke Mesyuarat Khas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan negeri untuk tindakan lanjut.
Namun, beliau berharap penduduk di kawasan itu dapat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan ujian swab untuk mengesan individu yang positif Covid-19.

Leave a comment