
OLEH ZARA DEBA
KOTA KINABALU: Kemunduran yang masih berlaku di Sabah di sebalik kekayaan hasil bumi yang melimpah ruah berpunca daripada tindakan pemimpin terdahulu termasuk dari Semenanjung yang hanya tahu mengambil ‘madu’ tetapi tidak tahu macam mana mahu menghasilkannya.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan hanya tahu mengambil hasil bumi negeri tetapi tiada tindakan dilakukan untuk membangunkan negeri demi manfaat rakyatnya.
“Saya bukanlah mahu salahkan pemimpin-pemimpin lama, mungkin ketika itu mereka harus membuat sesuatu keputusan yang baik untuk rakyat, ketika itulah, tetapi seperti saya yang melihat apa dilakukan, sebenarnya tiada apa-apa.
“Sebab itulah Sabah ketinggalan jauh di belakang, walaupun kita kaya dengan hasil dan banyak perkara lagi, tetapi mereka hanya tahu mengambil madu, tidak tahu macam mana mahu menghasilkan madu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum “Beyond the 2020 Sabah Polls: Sabah moving forward” anjuran Persatuan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS).
Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, corak pentadbiran politik pecah dan perintah yang dilaksanakan juga menyebabkan banyak kerajaan memerintah runtuh yang menyumbang kepada kerencatan pembangunan negeri.
Katanya, pemimpin politik Semenanjung memainkan peranan untuk memecah belahkan pemimpin di Sabah untuk mengawal mereka.
Sehubungan itu katanya, sehingga ke hari ini, Sabah masih perlu bergantung kepada Persekutuan, namun tidak boleh meletakkan ke seluruhan masa depan negeri ini kepada mereka.
“Saya tidak berbangga dengan perkara ini tetapi inilah realiti politik Sabah. Kami masih perlukan Kerajaan Persekutuan tetapi perlu berhati-hati dalam mengambil tindakan demi kemajuan negeri.
“Sebab itulkah saya beritahu rakan-rakan dalam UMNO, kita perlukan Persekutuan tetapi tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada mereka.
“Kita akan terus ketinggalan daripada segi pembangunan jika kita terus bergantung kepada mereka sedangkan tiada pembangunan yang dibawa ke negeri ini.

Leave a comment