
Keadaan Jalan Teruk: Kerajaan dicadang mengurangkan 50% harga Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Roadtax di Sabah.
Wira Warisan menyambut baik pengumuman Menteri Pengangkutan, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook memansuhkan pelekat Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau Roadtax pada kenderaan persendirian dan motorsikal berkuatkuasa serta merta. Ini adalah satu langkah progresif dan harus dipuji kerana memudahkan para pengguna jalanraya di seluruh Malaysia.
Susulan pengumuman Menteri Pengangkutan, berdasarkan respon masyarakat Sabah setelah sekian lama mengenai keadaan jalan di Sabah, Wira Warisan mencadangkan supaya pihak kerajaan mengurangkan 50% harga cukai jalan atau LKM di Sabah, berbanding pada masa kini yang hanya 20-30% lebih rendah berbanding LKM di Semenanjung Malaysia.
Cadangan ini adalah wajar memandangkan keadaan jalan di Sabah lebih teruk dan tidak memuaskan berbanding di Semenanjung Malaysia. Malah, kita sering membaca banyak laporan kemalangan jalanraya di Sabah adalah berpunca daripada keadaan jalanraya yang rosak, berlubang dan sempit.
Selain itu, kadar penggunaan pacuan empat roda di Sabah juga lebih tinggi berbanding di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Penggunaan pcuan empat roda bukanlah satu pilihan kepada rakyat Sabah, tetapi suatu keperluan terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman kerana keadaan jalan yang rosak dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan-kenderaan jenis sedan.
Justeru, adalah releven untuk mengurangkan harga cukai jalan kepada 50% bagi meringankan beban pengguna kenderaan khususnya pacuan empat roda membaiki kenderaan yang rosak akibat keadaan jalanraya. Diharap Menteri Pengangkutan dapat memberikan perhatian sewajarnya dan prihatin terhadap pengguna jalan raya di Sabah. Tamat.
Khairuddin Daud
Ketua Penerangan Wira
Parti Warisan
Ketua Wira Bahagian P167 Kudat

Leave a comment