15 Dikompaun Kerana Rentas Negeri Tanpa Kebenaran Di Labuan

Gambar hiasan

LABUAN: Sekurang-kurangnya 15 individu di pulau bebas cukai ini didenda RM5,000 setiap seorang kerana merentas negeri tanpa mendapat kebenaran polis pada 5 Mac hingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Labuan Supt Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata kesemua mereka dikenakan kompaun itu sebaik tiba dari tanah besar Sabah bagi tempoh berkenaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Polis akan terus memantau aliran masuk dan keluar pengembara menerusi pintu masuk/keluar pulau ini ke tanah besar. Kami tahu virus ini tidak mengenal sempadan geografi, jadi sekiranya terdapat percampuran masyarakat melalui perjalanan, sama ada untuk tugasan atau bercuti, ia boleh meningkatkan penyebaran virus.

“Oleh kerana sekatan pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa, kami akan mengenakan tindakan terhadap mereka yang melanggar perintah ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata ujian saringan COVID-19 terhadap semua kru kapal dan pekerja dalam sektor berkaitan minyak dan gas yang melalui pintu masuk yang diwartakan ke pulau ini, iaitu dua terminal feri dan Lapangan Terbang Labuan, masih diwajibkan.

Beliau berkata ini kerana pihaknya bimbang kemungkinan jangkitan daripada orang luar berpotensi menyebabkan wabak besar di pulau ini.

Kluster Pulau Enoe yang diisytiharkan baru-baru ini berpunca daripada sektor perkhidmatan berkaitan minyak dan gas, dengan hampir 2,000 pekerja berhampiran tapak Zon Perindustrian Rancha-Rancha menjalani ujian saringan COVID-19.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started
search previous next tag category expand menu location phone mail time cart zoom edit close